Solok lada dibuat daripada lada hijau yang dibelah dan disumbat dengan inti diperbuat daripada kelapa parut, isi ikan dan santan. Ia juga merupakan salah satu masakan tradisional masyarakat Melayu. Nasi kerabu lebih menyelerakan apabila dimakan pula bersama ulam, budu, sambal lada, kelapa goreng dan lauk seperti ikan goreng, solok lada atau daging panggang.

Bagi warga Kuala Lumpur yang ingin menikmati nasi kerabu asli, anda boleh mengunjungi The Boutique Cafe yang terletak di Muzium Tekstil Negara, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa sebuah muzium hanya mengumpul dan mempamerkan semua maklumat, dokumen dan artifak mengenai tokoh terbilang sahaja.

SIRA labu bersama aiskrim vanila.
SIRA labu bersama aiskrim vanila.

Namun berbeza sekali dengan muzium tekstil ini apabila turut menyediakan sebuah kafe dengan menawarkan pelbagai makanan menarik untuk semua golongan dan kaum. Menariknya, kafe tersebut sentiasa dikunjungi kerana suasananya yang cukup eksklusif dan sesuai untuk melepaskan tekanan selepas seharian bekerja.

Kafe yang berkonsepkan muzium ini dihiasi dengan tekstil batik dengan corak tradisional. Alunan muzik tradisional juga menjadi tarikan sambil menikmati pelbagai hidangan Melayu. Antara menu lain yang turut disediakan ialah nasi kerutub ayam, nasi impit, rendang, nasi lemak kukus, ikan tongkol masa kuning, roti jala kuzi ayam dan sira labu.

Menurut pengasas kafe ini, Nik Faiz Nik Amin, kebanyakan menu The Boutique Cafe menampilkan makanan Melayu asli. Ada hidangan yang diberi elemen moden seperti sira labu yang hidangkan bersama ais krim vanila dan coklat.

“Kebiasaannya butik-butik akan dipenuhi dengan pakaian-pakaian tetapi di sini orang ramai boleh bersantai dengan nyaman dan selesa sambil menjamu mata melihat pelbagai koleksi batik. Lokasi muzium ini juga amat menarik apabila terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur yang sentiasa menjadi kunjungan orang ramai terutama pada setiap hujung minggu.

“Tambahan pula, pelancong sama ada dari dalam dan luar negara yang datang berkunjung ke muzium ini boleh singgah sebentar di kafe ini,” katanya.

Kafe ini dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang dan boleh memuatkan hampir 30 orang dalam satu-satu masa.