Tetapi di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Kuantan menampilkan kelainan berbanding pusat-pusat tahfiz lain apabila institusi berkenaan tidak hanya memberi tumpuan kepada proses menghafaz al-Quran dan akademik semata-mata, tetapi turut memberi tumpuan khusus dalam bidang sukan terutama golf.

Pembinaan padang golf dan driving range dalam kawasan MTNP menjadikan maahad tahfiz tersebut adalah satu-satunya pusat pembelajaran ilmu dan hafazan al-Quran pertama di negara ini yang ada kemudahan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Datuk Dr. Zulkifle Ali berkata, hasrat untuk membina padang golf dan driving range sebenarnya timbul apabila mendapati ada pelajar maahad tahfiz ini yang terlibat dalam sukan golf.

Katanya, penglibatan mereka dalam pertandingan golf peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) menguatkan lagi keinginan untuk membantu para huffaz ini menjadi pemain golf sehingga dapat mewakili negara suatu hari nanti.

“Bagi mencapai hasrat itu, kita mula membuat perancangan mencari dan mengambil pelajar-pelajar yang berminat dan mempunyai bakat dalam sukan golf untuk diketengahkan. Kita juga memilih beberapa orang jurulatih golf berpengalaman untuk melatih mereka secara lebih tersusun.

“Saya percaya dengan adanya tenaga pengajar berpengalaman dan tempat latihan seperti padang golf, driving range serta putting green, MTNP mampu melahirkan pemain golf berbakat, malah tidak mustahil menjadi pemain profesional suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di padang golf MTNP di Kuantan, baru-baru ini.

Setakat ini, MTNP mempunyai tiga lubang iaitu dua par 3 – 92 meter dan 102 meter; dan satu par 4 dengan jarak 192 meter, satu putting green dan satu mini driving range yang dibina dalam kawasan MTNP di tapak seluas 2.4 hektar dengan kos RM190,000 dan akan ditambah dua lubang lagi dalam waktu terdekat.

Menurut Zulkifle, segalanya bermula hasil cetusan idea Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjadi Pemangku Raja Pahang yang mahu melihat pelajar institusi tersebut seimbang dari segi emosi, intelektual, spiritual dan jasmani.

Katanya, Sultan Abdullah mencadangkan kemudahan itu disediakan di sekitar bangunan MTNP di Tanjung Lumpur bagi memudahkan pelajar berlatih tanpa perlu ke padang golf di luar yang mengambil masa untuk ke sana.

“Setakat ini kita mempunyai 20 pelajar yang terlibat dalam sukan golf iaitu 12 pelajar lelaki dan lapan pelajar perempuan. Tetapi yang kita kenal pasti mempunyai bakat besar hanya empat orang iaitu Nadhil Alias, 15; Mohd. Harris Haziq, 15; Ali Imran, 15 dan Nur Izzatul Husna Mohd Sazeri, 17. Mereka ini dijangka menyertai kejohanan golf peringkat MSSM di Labuan tahun ini.

“Semua mereka mengikuti latihan golf di bawah kendalian lapan jurulatih berpengalaman yang biasanya bermula selepas solat asar dan berakhir 30 minit sebelum maghrib,” katanya.

Zulkifle menjelaskan, pelajar-pelajar yang berjaya melepasi peringkat MSSM pula akan diberi peluang untuk bermain golf di peringkat yang lebih tinggi, malah tidak mustahil pihaknya akan menghantar mereka menjalani latihan ke luar negara sebagaimana yang dilakukan dalam sukan ekuestrian.

Tambah beliau, golf merupakan sukan kedua berimpak tinggi disediakan di MTNP selepas ekuestrian yang mana institusi pendidikan itu berjaya melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

“Kami yakin dakwah bukan sekadar menyampaikan ilmu agama di masjid atau surau bahkan boleh dilakukan ketika bersukan. Sebab itu kami mahu melahirkan pemain golf terhebat dalam kalangan huffaz. Selain itu, sukan golf dilihat berupaya membentuk keperibadian dan nilai murni yang baik buat pelajar seperti fokus, menguasai kemahiran, disiplin, jujur dan menjaga penampilan.

“Apabila diaplikasikan dalam pembelajaran seharian, secara tidak langsung ia mampu mengimbangi kehidupan di dunia dan akhirat sebagaimana diimpikan Sultan Abdullah,” jelasnya.

Sementara itu salah seorang jurulatih golf, Arif Zaid, 51, berkata, beliau bersama beberapa jurulatih yang lain akan berusaha mengajar pelajar-pelajar maahad tahfiz ini sebaik mungkin dalam usaha membantu mereka mengetahui teknik-teknik hayunan dan pukulan golf yang sebenar.

“Kami tidaklah sebagus pemain profesional tetapi pengalaman yang kami ada dalam sukan golf akan dicurahkan kepada pelajar-pelajar ini. Insya-Allah dengan sokongan semua pihak, keinginan serta kesungguhan pelajar sendiri untuk berjaya dalam sukan golf akan tercapai,” katanya.