“Walaupun berdepan cabaran dan risiko, saya memberanikan diri demi memberikan pengalaman yang berharga kepada peserta. Pelajar berhak mendapat pengalaman seumpama ini ketika di sekolah sebagai kenangan mereka seumur hidup. Dengan kerjasama guru-guru pengiring yang lain dan sokongan jitu daripada ibu bapa, aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya kepada S2.

Menurut Noraizam, aktiviti pendakian merupakan pembelajaran tidak formal yang dapat membantu peningkatan fizikal dan mental pelajar ke tahap yang memberangsangkan.

Katanya, aktiviti yang dijalankan itu bukan sekadar pendakian semata-mata, malah paling penting adalah penekanan semangat setiakawan dan kerjasama secara berpasukan dalam kalangan peserta.

Salah seorang peserta, Nur Farrah Hana berkata, ekspedisi mendaki Gunung Kerinci memberikan kenangan dan pengalaman yang berbeza berbanding pendakian gunung di dalam negara.

Katanya, misi membawa bendera Malaysia dan bendera sekolah ke puncak Gunung Kerinci telah menguatkan semangatnya untuk terus mendaki.

“Misi yang digalas menjadi pembakar semangat kepada saya dalam menempuh pelbagai cabaran sebelum menjejakkan kaki ke puncak.

“Saya berasa bangga dapat mewakili SMK Subang Bestari. Pengalaman yang berharga ini tidak terdapat di sekolah-sekolah lain.

“Jasa guru-guru pengiring dan ahli Persatuan Kembara Negara dalam memberi latihan intensif beserta latihan khusus pendakian telah mempersiapkan diri peserta untuk menempuh cabaran mendaki gunung berapi tertinggi di Indonesia ini,” katanya.

Ternyata kejayaan yang manis ini tidak akan hadir tanpa kerjasama daripada semua pihak. Semoga cita-cita Kelab Kembara SMK Subang Bestari dalam melahirkan pendaki yang berjaya menawan puncak Gunung Everest iaitu gunung tertinggi di dunia tercapai satu hari nanti.