Sebelum kejayaan tersebut, kelab telah menawan Gunung Rinjani di Pulau Lombok pada 2016 dan Gunung Semeru di Pulau Jawa pada 2017.

Sekolah itu merupakan sekolah angkat Persatuan Kembara Negara (PKN) dan aktif mendaki gunung di dalam dan luar negara. Dengan pengalaman dan penglibatan guru pengiring yang ramai dalam sesuatu ekspedisi menjadikan Kelab Kembara SMK Subang Bestari semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar. Ahli kelab itu kini telah mencecah 400 orang.

Pendakian ke Gunung Kerinci mempunyai cabaran tersendiri. Pada hari pertama, mental peserta telah diuji apabila terpaksa menempuh perjalanan menaiki kenderaan selama 14 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Padang ke inap desa yang terletak di kaki Gunung Kerinci. Biasanya perjalanan mengambil masa lapan jam, tetapi perjalanan menjadi lebih lama kerana jalan utama ke inap desa ditutup akibat tanah runtuh.

Setibanya di inap desa, pendaki berehat dan membuat persiapan akhir untuk mendaki. Ternyata pendakian hari pertama agak mencabar. Ini kerana pendakian dari Pos 1 ke Shelter 3 iaitu tapak perkhemahan adalah jauh. Selain itu, pendaki perlu menempuh hutan tebal dan trek berlumpur.

Cabaran semakin terasa apabila laluan dari Shelter 2 ke Shelter 3 bukan sahaja tegak, tetapi di beberapa tempat, pendaki perlu menempuh kawasan alur air seumpama longkang yang dalam.

Bentuk muka bumi seperti itu benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal peserta. Apatah lagi hujan bermula pukul 7 malam menjadikan laluan mendaki licin.

Suhu sejuk dan angin kencang pada waktu malam menyebabkan kebanyakan peserta kesejukan dan tidak dapat tidur lena. Beberapa khemah tumbang akibat angin kencang. Berkat doa, cuaca kembali tenang pada awal pagi keesokan harinya dan peserta dibenarkan mendaki.

Jika cuaca buruk dan hujan, pemandu arah tidak membenarkan aktiviti pendakian dilakukan. Syukur pada hari berikutnya misi menawan puncak Gunung Kerinci dapat dilaksanakan. Namun, sebelum itu pendakian terpaksa ditangguhkan dari pukul 5 pagi sehingga 7.45 pagi kerana angin kembali kuat dan kabus menutup laluan ke puncak.

Tambahan pula laluan ke puncak bukanlah mudah kerana dipenuhi batuan kecil dan besar yang bercampur pasir sekali gus menyebabkan mudah menggelongsor. Jika tidak berhati-hati, keadaan itu boleh membahayakan pendaki.

Tidak ada kejayaan tanpa usaha. Begitulah yang dibuktikan oleh pendaki yang akhirnya menyaksikan usaha mereka membuahkan hasil. Kesemua pendaki merakamkan detik yang indah tepat pukul 10.15 pagi. Kesemua 41 pendaki berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera sekolah di atas puncak Gunung Kerinci.

Bukan mudah untuk merealisasikan misi ini. Namun, berbekalkan semangat dan sokongan keluarga, guru dan rakan, kesemua pendaki berjaya membawa nama Malaysia ke puncak gunung berapi yang masih aktif itu. Itulah detik terindah bagi mereka.