Ini kerana, pembayar zakat tidak perlu lagi meluangkan masa dan tenaga untuk ke kaunter, sebaliknya umat Islam yang layak boleh menunaikan rukun Islam ketiga itu di mana-mana sahaja mereka berada.

Antara yang mendapat manfaat adalah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang mencatatkan peningkatan membanggakan dari segi jumlah pungutan dan pembayaran zakat.

Ini diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff ketika ditemui pada majlis perasmian Karnival Year End Zakat (YEZ) 2018 di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak kaedah itu dilaksanakan pada 2011 menunjukkan peningkatan yang membanggakan setiap tahun sama ada jumlah kutipan mahupun bilangan pembayar zakat.

“Contohnya, antara bulan Ogos hingga Oktober tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus bagi jumlah pungutan manakala 30 peratus bilangan pembayar berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pada tahun ini, jumlah pungutan adalah RM2.2 juta berbanding tahun lalu RM1.6 juta manakala pembayarnya tahun ini seramai 7,751 orang dan tahun lalu, kira-kira 5,975 orang,” katanya.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali itu menampilkan pelbagai acara menarik seperti gerai jualan, kaunter zakat, pertandingan mewarna, gusti lengan, memasak, ceramah dan konsert.

Kemeriahan karnival selama dua hari turut disertai oleh selebriti tempatan antaranya kumpulan nasyid Hijjaz, Raihan, Datuk Dr. Izhar Ariff, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dan Man Raja Lawak.

Karnival yang dianggarkan dihadiri hampir 10,000 pengunjung itu bertujuan mendedahkan kepada masyarakat tentang kewajipan berzakat di samping meningkatkan penghayatan Islam.

KERJASAMA STRATEGIK

Dalam masa sama, Ahmad Shukri berkata, kerjasama SeriGroup Global Sdn. Bhd. menaja hadiah bagi Kempen Jom Berzakat @ zakat.com.my (Ogos hingga Oktober tahun ini) turut menjadi faktor penyumbang peningkatan peratusan berkenaan.

“Kerjasama strategik amat penting kerana syarikat swasta mampu menampilkan daya tarikan bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam menunaikan zakat,” katanya.

Sementara itu, Che Mat semasa berucap pada majlis perasmian karnival tersebut menyeru umat Islam agar tidak melupakan tanggungjawab berkenaan.

Ini kerana katanya, kadar sumbangan kepada asnaf yang layak di Wilayah Persekutuan telah meningkat berikutan peningkatan kos sara hidup di bandar.

“Kadar sumbangan antara RM500 hingga RM600 tidak lagi sesuai tetapi kini meningkat kepada lebih RM1,000 sama ada dalam bentuk tunai atau barangan.

“Justeru, jika umat Islam yang layak masih memberi alasan enggan menunaikan zakat, maka usaha kita membasmi kemiskinan bandar tidak akan tercapai,” katanya.