Saya melihatnya antara punca utama mengapa pelajar agama di Malaysia tidak cukup baik kemahiran bahasa Arab dari sudut pertuturan atau pendengaran. Mungkin sebahagian mereka terutama di pusat pengajian tradisional mampu menguasai asas tatabahasa Arab secara teori seperti Nahu, Saraf, atau Balaghah dengan agak baik, namun apabila mereka ke peringkat lebih tinggi yang memerlukan pendedahan lebih meluas, ramai yang terkandas.

Misalnya apabila ke universiti yang menawarkan bahasa Arab sebagai perantaraan terutama universiti di Asia Barat seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Maghribi, mereka seakan-akan tidak bersedia.

KEJUTAN BUDAYA PENGAJIAN

Pengalaman saya juga menyaksikan ramai sahabat yang pernah menghabiskan tiga tahun diploma mereka di institusi ternama negara seperti Darul Quran belum cukup bersedia apabila menyambung pengajian mereka di negara Arab. Bukan kerana sistem pengajiannya tidak bagus, tetapi kerana institusi dan pelajarnya masih tidak mampu mewujudkan biah (suasana) Arab sebagai persediaan.

Sebahagian menyangka mereka sudah mampu ke kuliah atau bersedia menempuh alam baharu, kerana tempoh lama yang dihabiskan sebelum ini bergelumang dengan pelbagai subjek bahasa Arab, lalu mereka terus tergesa-gesa masuk ke kuliah tanpa melalui pusat bahasa yang disediakan oleh sebahagian universiti.

Ada sebahagian universiti mewajibkan pelajar luar untuk masuk ke pusat bahasa terlebih dahulu seperti Universiti Imam di Riyadh atau Universiti King Saud juga di Riyadh, Arab Saudi. Ada pula yang tidak mewajibkan, namun pelajar boleh mengambil ujian bahasa yang dikendalikan jika mahu ke pusat bahasa dahulu seperti di Universiti Islam Madinah.

Maka sebahagian pelajar tersebut langsung ingin masuk ke kuliah kerana enggan ‘membazirkan’ masa setahun dua di pusat bahasa kerana mereka menyangka telah cukup bersedia.

Namun setelah masuk ke kuliah, tiba-tiba mereka mendapati kesukaran untuk memahami bahasa atau dialek pensyarah, malah tiba-tiba dibebani dengan kitab atau nota tebal yang sebelumnya di Malaysia mereka tidak pernah terbeban sebegitu.

Tugasan yang diberikan juga sangat mencabar menjadikan mereka seakan-akan ‘tersedak’, lalu ramai yang gagal dalam pelbagai subjek teras pada semester pertama, sehingga membuatkan mereka down bersama pointer rendah dan sukar bangkit.

Hal ini terjadi kerana mereka belum cukup bersedia dengan suasana berbahasa Arab sedemikian.

Malah di tempat saya mengajar sendiri walaupun ia merupakan fakulti yang berteraskan pengajian al-Quran dan al-Sunah, kualiti bahasa Arab majoriti pelajarnya sangat mengecewakan walaupun sudah berada pada tahun akhir pengajian. Mereka sukar memahami bahasa Arab baik semasa di kelas mahupun ketika merujuk buku.

Walaupun ditekankan untuk mempunyai inisiatif sendiri untuk berbahasa Arab di dalam atau luar kelas, mereka tetap juga tidak mampu.

Ya, barangkali kerana suasana kemelayuan yang terlampau kuat sehingga menenggelamkan identiti kita sebagai penuntut ilmu. Kita lupa orang Melayu Malaysia ini ‘pemalu’ dan sukar maju jika tidak dipandu. Kita mudah leka tanpa tekanan.

INDONESIA LEBIH 
KE HADAPAN

Beberapa bulan lalu saya dan beberapa sahabat berkesempatan menziarahi Jami’ah al-Rayyah, sebuah pusat pengajian agama di Sukabumi, Indonesia yang beroperasi sejak 12 tahun lalu. Ia dibina secara persendirian atas tanah seluas kira-kira 18 hektar di kawasan tinggi yang sangat nyaman suasananya.

Pesantren ini terkenal kerana mampu melahirkan para pelajar yang mahir dan fasih berbahasa Arab. Saya sempat bersembang dengan seorang bekas pelajarnya di sana yang tidak pernah belajar di negara Arab, namun lebih fasih daripada ramai pelajar Melayu yang sudah bertahun-tahun belajar di negara Arab.

Tempoh pengajian mereka sekitar lima tahun selepas tamat SMR (setara Sijil Pelajaran Malaysia). Pelajarnya datang dari pelbagai latar belakang pengajian dan ramai yang 'kosong' berbahasa Arab ketika diterima belajar di sana. Namun mereka mampu menyediakan pengajian yang melatih para pelajar untuk berbahasa Arab dalam tempoh beberapa bulan sahaja, bahkan kami diberitahu selepas dua bulan, mereka sudah mampu memberi khutbah dalam bahasa Arab!

Saya tertanya-tanya rahsianya? Ketika melangkah ke pesantren ini saya mendapat jawapan.

Cukup mengagumkan kerana hampir segalanya disediakan mengikut persekitaran Arab. Dari tempat sambut tetamu, hidangan, asrama, kelas, bahkan tingkap dan pintu juga dirangka mirip bangunan Arab demi memberikan suasana Arab buat pelajarnya seakan-akan belajar di negara Arab, sekali gus memudahkan proses pengajian bahasa Arab penuntutnya.

Pelajar dan guru diwajibkan berbahasa Arab 24 jam sesama mereka selagi berada di dalam kawasan pesantren. Segala papan tanda, poster-poster semuanya dalam bahasa Arab.

Ketika melangkah masuk ke bangunan asrama, suasananya benar-benar membuatkan saya teruja kerana terimbau kenangan lama ketika belajar di Madinah dan Riyadh dahulu.

RAHSIA KEJAYAAN

Rahsia kejayaan mereka ialah keupayaan mewujudkan suasana Arab walaupun 100 peratus pelajar dan majoriti pengajar adalah warga Indonesia.

Apa yang menarik, pelajar Jami’ah Arraayah ini dididik dengan kesedaran. Dengan kesedaran ini mereka berusaha mencapai objektif pengajian, iaitu menguasai bahasa Arab baik dari sudut pertuturan, mahupun tatabahasa.

Saya melihat kelemahan utama pengajian bahasa Arab di mana-mana institusi pengajian Malaysia ialah ketidakmampuan mewujudkan persekitaran sedemikian. Kita perlu akui bahawa pelajar kita tidak gagah untuk berusaha tanpa suasana atau tekanan.

Pelajar kita sangat pemalu untuk bertutur di hadapan khalayak kerana terlalu ‘penakut’ untuk melakukan kesilapan. Terlalu memikirkan kata-kata orang, terlalu khuatir bakal dilabel seperti ‘poyo’ dan sebagainya. Akhirnya pelajar sendiri yang rugi.