Paling membimbangkan adalah kes sumbang mahram yang dilihat semakin serius, malah antara perlakuan yang meningkat saban tahun.

Terbaru, negara digemparkan dengan kejadian membabitkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun melahirkan seorang bayi dalam tandas rumahnya di Taman Diawan, Kampar, Perak hasil hubungan seks dengan adik lelaki yang masih dalam tingkatan satu.

Ini belum disebut mengenai kes-kes ‘haruan makan anak’ apabila bapa sendiri sanggup merogol anak perempuan biarpun masih kecil semata-mata untuk memuaskan nafsu.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bermula 2005 hingga 2011, Malaysia menduduki tempat keempat daripada 10 negara berkaitan kehamilan remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun. Lebih mengejutkan pada 2018 kehamilan paling awal berlaku pada remaja seawal usia 12 tahun disebabkan sumbang mahram.

Walaupun kes sumbang mahram selalu terjadi di Malaysia, masih ramai yang enggan membincangkan tentang isu tersebut kerana dianggap membuka aib diri mahupun keluarga.

Tetapi, sedarkah mereka bahawa kejadian sumbang mahram sebenarnya menunjukkan tanda-tanda kepincangan sebuah institusi kekeluargaan dalam masyarakat, malah negara juga sedang mengalami kemelut gejala sosial yang meruncing.

Apabila membicarakan isu tersebut, masyarakat sebenarnya tidak boleh lari daripada menyentuh tentang pergaulan antara sesama mahram, tidak kira ibu bapa dengan anak-anak atau sebaliknya mahupun antara adik-beradik berlainan jantina.

Bagi Pencetus Ummah, Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa atau lebih dikenali sebagai PU Hafiz, Islam amat menitikberatkan perihal ikhtilat iaitu pergaulan antara lelaki dan perempuan tidak kira berkaitan muamalat iaitu dalam perniagaan, sekolah mahupun ketika beribadah.

Beliau berkata, pergaulan antara lelaki dan perempuan perlu ada jurang yang memisahkan. Ini kerana tidak dinafikan antara dua jantina itu boleh tertarik antara satu sama lain.

Malah katanya, Rasulullah juga menyukai wanita dalam hidup baginda selain wangi-wangian dan solat yang khusyuk.

“Maknanya, pergaulan lelaki dan perempuan dibenarkan, cuma perlu ada batasan yang seharusnya dijaga termasuk dengan ibu bapa mahupun adik-beradik.

“Tetapi kini pergaulan antara lelaki dan perempuan dilihat semakin bebas. Kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun juga kini sudah mengetahui bahawa dosa paling besar adalah zina dan liwat.

“Jadi, melihat kepada senario masa kini selain pemikiran kanak-kanak yang lebih ke hadapan, maka anak-anak seharusnya dididik tentang batasan pergaulan sejak dari awal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.