Paling dikhuatiri adalah anak-anak yang ditanam dengan tanggapan bahawa tindakan memaparkan keintiman atau aksi ciuman mesra antara suami isteri itu dibolehkan dan akhirnya mereka juga terikut-ikut melakukan perbuatan tersebut.

 

Lebih-lebih lagi anak-anak muda zaman sekarang dilihat sudah mula gemar memuat naik gambar-gambar bersama teman lelaki, tunang dan tidak mustahil mereka akan memaparkan gambar-gambar mesra bersama suami pada masa akan datang.

Dai Hijrah berkata, anak-anak dibimbangkan akan mengikut membabi-buta tanpa mereka faham bahawa bahagia antara suami isteri bukan perlu ditonjolkan, cukup sekadar anda dan pasangan serta keluarga merasakannya.

“Kita juga perlu melihat pada orang yang memandang kerana ada sekadar melihat, tetapi ada juga memandang dengan penuh ghairah dan terangsang syahwatnya.

“Jadi, dengan mengelakkan perbuatan itu kita juga dapat menyelamatkan iman manusia kerana iman sukar dijangka, ada yang tinggi (kuat), tidak kurang juga lemah dan rendah,” katanya.

Dai Hijrah berkata, setidak-tidaknya mereka yang gemar memuat naik gambar sedemikian berfikirlah tentang perasaan malu kerana ia mempunyai kaitan dengan kehormatan dan maruah suami mahupun isteri.

Islam juga memberi perhatian terhadap isu maruah seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang daripada iman.”- Riwayat Muslim

Malah, rasa malu menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu perkara buruk dan mencegahnya daripada kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”

Dalam hal lain, beliau juga menyebut antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, ms 345)

PENYAKIT AIN

Kata Dai Hijrah, perkara ini ditakuti munculnya penyakit al-ain iaitu disebabkan daripada pandangan mata manusia lain yang bersifat iri atau takjub terhadap apa yang dipandang.

Ini tambahnya, boleh terjadi sama ada daripada orang yang dengki atau dicintai, orang jahat atau soleh.

Pandangan disebabkan kagum dan teruja yang disertai dengan sedikit sifat cemburu boleh menyebabkan terkena penyakit al-ain mengikut Ibn Hajar al-‘Asqalani. (Lihat Fath al-Bari, 10/200)

“Punca utama munculnya penyakit ini adalah disebabkan pandangan seseorang ekoran rasa takjub atau terlalu suka seperti kita komen ‘ala sweetnya, bersemut’ yang melambangkan kesukaan, kegembiraan serta keduanya apabila manusia memandang dengan perasaan iri hati,” katanya.

Sebab itu kata Dai Hijrah, jika melihat keindahan, kecantikan atau kebahagiaan mulakan pujian itu dengan nama Allah seperti Masya-Allah, Subhanallah, Alhamdulillah seperti dalam firman Allah bermaksud:

“Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu “Masya Allah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit daripadamu dalam hal harta dan keturunan. Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.” (al-Kahfi: 39 dan 40)

Jelas Dai Hijrah, apabila melontar atau menulis kata-kata pujian tanpa dilapik dengan nama-nama Allah atau zikir, maka apa yang terdapat dalam hati orang memuji itu secara tidak langsung akan ikut sekali (dengan izin Allah) seperti hasad dengki mahupun suka sehingga menyebabkan lahirnya penyakit al-ain kepada orang dipuji.

Ia juga boleh berlaku walaupun kita tiada niat untuk membenci.

Oleh itu katanya, sebaiknya masyarakat mengelak melakukan perbuatan tersebut dan berubah bukan sahaja untuk dirinya, tetapi masyarakat. Untuk berubah seseorang itu perlu mengenal dirinya terlebih dahulu dan memahami bahawa perbuatan itu adalah satu dosa yang akan memberi pelbagai kesan kepada ramai orang.

Tambahnya, mereka juga perlu memperbaiki diri menjadi lebih baik. Paling penting baiki dalaman diri kerana bahagia itu bukan daripada luaran tetapi dalam hati kita.

“Akhir sekali, teruskan dengan amalan baik seperti membaca al-Quran dan hadis di rumah bagi mendatangkan rahmat Allah turun mencurah-curah dalam rumah tangga dibina,” katanya.