Sejajar itu, Masjid al-Mutaqin Wangsa Melawati, Kuala Lumpur mengambil inisiatif bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur untuk melakukan kitar semula air hujan bagi kegunaan masjid dan komuniti sekitarnya.

Menurut Pengerusi masjid berkenaan, Ar. Hamka Abu Dardak, projek Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (Spah) itu tidak hanya terhad bagi kerja-kerja cucian, malah untuk berwuduk dan bekalan air minuman.

Dalam masa sama, beliau menyatakan projek itu mampu mengurangkan kos pengurusan masjid kerana penyelenggaraan terutama membabitkan alat ganti, kepakaran khusus dan penggunaan sumber tenaga tambahan yang tidak membebankan.

“Pada awalnya kami melihat usaha tersebut setakat untuk kerja-kerja cucian, berkaitan dengan landskap sekitar masjid dan lain-lain aspek dalam skala kecil sahaja.

“Tetapi selepas beberapa kali penelitian, kami fikir ia sepatutnya boleh dibawa ke peringkat lebih besar iaitu untuk berwuduk dan bekalan air minuman,” katanya ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pensyarah Kanan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun Jabatan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, UTM, Dr. Aznah Nor Anuar.

Inisiatif projek yang dimulakan sejak akhir tahun lalu itu telah beroperasi beberapa minggu lalu dan setakat ini menunjukkan hasil membanggakan.

Namun bagi Hamka, apa yang penting adalah projek tersebut mampu memberi dua impak besar kepada masjid dan komuniti sekitarnya.

Pertama beliau berkata, ia bakal mengurangkan kadar penggunaan air terawat Syabas kerana tangki tadahan air hujan itu dijangka berupaya menampung hampir separuh daripada keperluan bulanan.

“Tangki utama masjid berkapasiti 20,000 liter manakala tadahan air hujan, kira-kira 3,000 liter. Dalam beberapa minggu ini, taburan hujan lebat dan sudah pasti 3,000 liter air datang daripada sumber air hujan,” katanya.

Manakala impak kedua, beliau memberitahu, ia juga membolehkan jumlah bayaran bulanan bil air dikurangkan selain mengurangkan tekanan kepada penggunaan air terawat Syabas sekitar Wangsa Melawati.

“Kalau ikut bayaran bil air, masjid ini antara tertinggi tetapi dengan adanya projek ini mampu memberi kelegaan kerana sumber dana kami tidak besar,” katanya.

DUA TAPISAN

Sementara itu Dr. Aznah berkata, sistem tadahan air hujan tersebut mempunyai dua kali tapisan sebelum dialirkan ke tangki utama masjid.

Beliau memberitahu, penggunaan dua tapisan tersebut menepati konsep bersih dan selamat bagi penggunaan air selain untuk tujuan cucian serta landskap.

“Tapisan pertama untuk menepati konsep bersih kerana ia jernih, segar dan nilai pHnya adalah tujuh. Tetapi untuk tujuan wuduk dan bekalan air minuman, ia mestilah bersih serta selamat daripada mikro organisma dan ini memerlukan tapisan kedua.

“Cuma untuk bekalan air minuman, ia perlu dimasak terlebih dahulu sama seperti kita lakukan daripada sumber bekalan air yang diterima daripada syarikat pembekal air,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Aznah melihat projek sedemikian bukan hanya mampu menjimatkan kos perbelanjaan utiliti masjid tetapi turut menaikkan imej institusi Islam sebagai pusat pembelajaran.

Beliau berkata, ia juga memberi peluang kepada golongan penyelidik untuk mengaplikasikan projek mereka memandangkan masjid adalah antara institusi tumpuan pelbagai golongan masyarakat umum.

“Saya yakin projek ini bakal menarik minat pelbagai pihak termasuk sekolah dan universiti untuk datang mempelajarinya,” katanya.