Malik atau nama penuhnya Malik Bin Umar bin Khudhar bin Mushtafa bin Nabi dilahirkan di kota Qasanthiah, Aljazair, Algeria pada 1905 sebelum keluarganya berpindah ke wilayah Tibsah ketika usianya masih kecil.

Beliau adalah seorang yang gemar membaca, di samping minat terhadap puisi dan syair Arab. Sejak berpindah ke Tibsah, beliau sering berkunjung ke sebuah madrasah pengajian al-Quran.

Pada masa sama, beliau bersekolah di Madrasah Ibtida’iyah. Menurut gurunya, Malik merupakan seorang murid yang cemerlang dan sering mendapat tempat pertama dalam peperiksaan di sekolah tersebut.

Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat menengah di sebuah sekolah yang terletak di kota Qasanthinah. Malik turut mengikuti kuliah agama yang disampaikan oleh pendakwah, Syeikh Ibnu Abid dan Syeikh Maulud bin Muhana di sebuah masjid di kota tersebut.

Selepas menamatkan pelajaran di sekolah menengah, beliau kemudian mencari kerja sambilan di beberapa tempat dan pada 1930, beliau belayar ke Perancis untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Listrik seterusnya menamatkan pengajian sekitar tahun 1935.

Dalam memperjuang Islam, Malik mempunyai beberapa pandangan kritis dan rasional. Beliau pernah menegaskan bahawa sikap dan komitmen anak muda perlu dalam perjuangan Islam serta seharusnya berteraskan iman serta akhlak, malah dasar-dasar Islam juga menjadi keutamaan dalam perjuangan tersebut.

Apa yang beliau inginkan, bahawa Islam harus dipraktikkan dalam setiap kehidupan manusia yang meliputi aspek politik, pendidikan, perkembangan negara selaras dengan kemodenan era globalisasi.

TIDAK LOKEK ILMU

Dalam mempersembah inti pati pemikiran dan pengalamannya terhadap dunia Islam, Malik tidak pernah lokek dan ternyata segala idealisme serta penjelasannya mengenai Islam membuatkannya sangat dikagumi generasi muda Barat mahu pun Timur.

Pemikirannya dijadikan rujukan untuk berinteraksi dengan peradaban kontemporari, menggunakan akal untuk mengkaji warisan kemanusiaan dan mempertimbang elemen-elemen yang penting berteraskan neraca syariah Islam.

Beliau yakin bahawa pertimbangan yang didasari syariah Islam akan membawa manusia kepada status kemuliaan hidup malah dapat memakmurkan bumi dengan amal ibadat kepada Allah SWT.

Sehingga kini, beliau diibaratkan sebagai obor kepada aktiviti dakwah, pemikir dan pengkaji yang mempersembah lontaran idea serta pemikiran menurut Islam.

Ceramah dan penulisannya sering tertumpu kepada golongan remaja bagi memupuk semangat kesedaran dalam menyakini agama, berpegang teguh pada komitmen agama, serta menerapkan hukum-hukum agama dalam kehidupan.

Malik juga pernah berkata, hanya Islam dapat menyembuhkan luka parah, hati yang tercalar dan dapat menyelesaikan segala persoalan dihadapi umat Islam keseluruhannya.

Sehingga kini, banyak hasil karya beliau tersebar ke serata dunia dan diterjemahkan kepada beberapa bahasa dunia termasuk Arab yang kebanyakannya menyentuh mengenai masalah peradaban serta jalan penyelesaiannya.

Antara karya-karya beliau yang terkenal adalah:

  • Azh Zhahirah al-Quraniah
  • Wijhatul Alam al-Islami
  • Syuruthun Nahdhah
  • Labbaik

Melalui karya tersebut, Malik juga berusaha memberi kesedaran kepada pemuda Islam mengenai agenda Barat yang cuba mengekang dunia Islam serta menghina umat Islam.

Buku-bukunya itu turut menyentuh mengenai kebangkitan Islam dan syarat-syaratnya, peradaban Barat serta cara menghadapinya selain menyentuh keperibadian Muslim sejati dan ciri-cirinya.

Beliau sering mengingatkan umat Islam mengenai sikap dan pemikiran mereka yang sedia untuk dijajah jika mereka tidak mempunyai keyakinan diri.

Beliau turut menegaskan jika jiwa dan minda umat Islam berada dalam keadaan lemah, ia akan memberi ruang kepada Barat untuk menyalurkan ideologi mereka, justeru secara tidak langsung corak pemikirannya akan turut dijajah.

Selain itu, banyak kesimpulan daripada karya-karyanya menyentuh aspek agama antaranya yang menyatakan bahawa tiada yang lebih tinggi selain daripada agama Allah dan tiada kemenangan selain daripada Allah, malah darjat umat Islam lebih tinggi kerana berjuang untuk kebenaran Islam.

Beliau juga yakin Islam mampu menguasai dunia jika umatnya mementingkan ilmu dan perpaduan yang berteraskan al-Quran serta sunah.

Beliau turut menasihati umat Islam agar tidak menjadi ejen penjajah tanpa disedari, usah tunduk dengan segala tipu daya Barat dan tidak meninggalkan agama, budaya termasuk pemikiran akibat tertipu dengan fantasi pemikiran Barat.

Malik akhirnya pulang ke tanah tumpah darahnya, iaitu pada awal 1973 dan kembali menyahut seruan Ilahi pada Oktober ketika berusia 68 tahun.