Tidak dinafikan, ini kerana umum mengetahui antaranya terdapat tempat-tempat yang dinyatakan mustajab untuk berdoa atau memohon hajat tertentu ketika berada di Mekah atau Madinah.

Walau bagaimanapun, niat murni itu boleh menjadi sebaliknya jika dilakukan sekadar suka-suka dengan beranggapan menziarahi Tanah Suci seperti melancong ke negara asing.

Bagi pembimbing haji dan umrah, Lukmanul Hakim Hanafi, usaha itu bukan suatu yang mudah untuk dicapai kerana ada beberapa perkara lain perlu ditangani terlebih dahulu sebaik mungkin.

Mengikut pengalaman Pengerusi Fa Izin International Travel & Tours itu mengurus jemaah umrah atau haji membuktikan, usaha pasangan suami isteri tersebut kadang kala gagal menepati apa yang diimpikan mereka.

Beliau menambah, mereka bukan hanya hilang kenikmatan hubungan suami isteri, bahkan juga dalam aspek amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.

“Jangan anggap bila sudah berada di Mekah atau Madinah, maka semuanya akan menjadi mudah. Mengerjakan umrah atau haji bukan seperti pergi melancong atau makan angin.

“Sebaik sahaja kita selesai lafaz niat umrah atau haji, kita dalam pemerhatian Allah dalam semua aspek,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Fa Izin International Travel & Tours Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Usul Fiqh Usul, Haji dan Umrah itu menegaskan masalah tersebut berpunca daripada kegagalan suami isteri memahami hakikat sebenar menunaikan umrah atau haji.

Mungkin persoalan itu nampak remeh tetapi bagi beliau, ia cukup penting untuk difahami kerana daripada situlah, matlamat utama agar menjadi lebih jelas dan teratur.

“Asasnya, seseorang pergi Mekah (umrah atau haji) untuk menziarahi Kaabah tetapi ziarah itu bukan bermakna kita perlu duduk depan Kaabah 24 jam,” katanya.

Beliau menambah, kegagalan memahami persoalan tersebut akan menyebabkan pasangan mudah tersentuh walaupun melibatkan perkara atau isu yang boleh dianggap remeh.

“Mereka semua ada ikut kursus umrah atau haji dan saya yakin, mereka faham dan ingat yang diajar itu tetapi rata-ratanya gagal memahami makna sebenar kenapa kita tunaikan umrah atau haji itu.

“Kegagalan itu akan menyebabkan amalan ibadat sama ada wajib atau sunat hanya di bibir sahaja dan lebih teruk lagi, sekadar melengkapkan disiplin ibadat Rukun Islam kelima itu,” katanya.