Antara yang ditekankan dalam forum tersebut adalah berhubung kecenderungan seksual yang menjadi isu hangat diperkatakan hari ini apatah lagi diperjuangkan atas jalur hak asasi manusia.

Oleh kerana kecenderungan seksual ini bersifat peribadi, ia dikatakan tidak boleh diganggu oleh sesiapa sahaja termasuk pemerintah. Pendekatan ini diambil bagi sesetengah golongan kerana meletakkan kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan umum.

Menurut pemikir Islam, Imam Ali bin Muhammad Al Jurjani dalam kitab al-Taarifaat, kebebasan bererti membebaskan diri daripada tunduk kepada makhluk dan memutuskan segala bentuk hubungan serta kaitan dengan perkara-perkara lain.

Beliau berpandangan kebebasan terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

1- Bebas daripada kehendak hawa nafsu.

2- Bebas daripada mengikuti kehendak diri kerana fokus kehendak adalah kepada Yang Maha Esa.

3- Bebas daripada resam dan pengaruh luar yang memusnahkan diri daripada cahaya hikmah.

Oleh itu, dalam Islam kebebasan itu sendiri terpateri hadnya hanya kepada apa yang termasuk dalam ketaatan kepada Allah.

Berbalik kepada kecenderungan seksual ini, terdapat banyak golongan perlu kita ketahui. Antara yang tidak asing di negara ini adalah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Di Malaysia, golongan ini kini aktif memperjuangkan hak mereka untuk ‘mengamalkan’ gaya hidup songsang itu tanpa campur tangan pemerintah.

Apa yang pasti, ia bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Konsep amar maaruf nahi mungkar mestilah diaplikasikan kepada mereka dalam usaha membawa mereka ke pangkal jalan.

BUKAN HANYA LGBT

Di luar negara, gerakan songsang seperti LGBT adalah lebih hebat. Mereka bukan sahaja memperjuangkan LGBT tetapi LGBTIQ iaitu intersexed (seorang yang mempunyai dua alat kelamin) dan queer (seorang yang melakukan seks bukan sahaja melampaui jantina lelaki dan perempuan, tetapi termasuk dengan haiwan, pokok dan apa sahaja difikirkan sesuai).

Walaupun kita tidak mempunyai masalah dengan golongan intersexed atau lebih dikenali dalam Islam sebagai khunsa, tetapi golongan queer akan mendatangkan fenomena buruk kepada negara jika diamalkan.

Bagi khunsa, jurisprudens Islam (kajian tentang prinsip undang-undang Islam) sudah banyak membincangkannya. Khunsa dijadikan Allah bukan atas pilihan mereka sendiri dan ada kaedah digariskan bagi memilih jantina mana lebih baik bagi golongan ini.

Ilmuan Islam telah lama membahaskan isu khunsa secara tuntas dan tidak terdapat permasalahan bagi golongan ini untuk memilih jantina berdasarkan kecenderungan mereka sendiri.

Bagi queer pula, jika dibenarkan berterusan, amat malang bagi negara kerana perkara jijik seperti ini akan berleluasa dan memalukan. Di mana nilai sopan ketimuran kita, semata-mata mahu mengikut nilai asing sehingga sanggup menguburkan norma dan budaya tempatan.

Selain itu, terdapat juga golongan asexual iaitu mereka yang tidak mempunyai nafsu seks terhadap mana-mana golongan lain. Mereka ini bukanlah golongan yang mengamalkan celibacy atau pembujangan atas faktor agama tetapi kerana tidak mempunyai naluri seksual semula jadi.

Golongan ally pula adalah mereka yang menyokong dan mempertahankan hak LGBT walaupun bukan daripada mana-mana kategori itu.

Golongan ally juga perlu diberi kesedaran kerana mempunyai perasaan kasihan terhadap LGBT yang dimomokkan sebagai ditindas oleh masyarakat awam. Atas faktor kasihan dan hak peribadi ini, ada dalam kalangan golongan ally jauh lebih hebat mempertahan dan memperjuang LGBT daripada golongan itu sendiri.

Selain itu golongan transexual pula ialah golongan yang telah menjalani proses perubatan menukar alat kelamin mereka.

Hanya golongan heterosexual merupakan kategori normal iaitu orang yang tertarik dan menyukai pasangan daripada gender berlainan.

Namun, dalam golongan ini juga perlu dihadkan kerana perlakuan seksual tidak boleh dibiarkan berleluasa atas dasar kerelaan tanpa menjalani ikatan perkahwinan yang sah.

Islam bukan sahaja mengharamkan penzinaan tetapi juga mendekati penzinaan. Lantaran itu, di Malaysia terdapat kesalahan-kesalahan seperti khalwat, berkelakuan tidak sopan, persediaan melakukan zina dan sebagainya bagi menghalang orang Islam menghampiri zina.

DEKATI DENGAN HIKMAH

Ternyata, terdapat banyak golongan abnormal perlu didekati bagi mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Bagi setiap golongan ini perlu digarap kaedah bersesuaian supaya lebih efektif dan menginsafkan mereka.

Mengherdik dan mencerca hanya akan membuatkan mereka lari lebih jauh daripada kebenaran. Justeru, pendekatan berhikmah adalah amat perlu bagi membimbing mereka yang tersasar ini.

Sudah sampai masanya suatu modul atau pendekatan digarap bagi mendekati golongan ini bertujuan memberi kesedaran kepada mereka dan mengajak kembali ke pangkal jalan di samping menjalani kehidupan berdasarkan lunas syariah.

Mereka juga perlu diajak melihat betapa indahnya kehidupan di bawah lembayung syariah. Namun sekiranya segala usaha membimbing mereka gagal atau tidak berhasil, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

Mereka tidak harus dibiarkan begitu sahaja kerana akan dilihat seperti mengiktiraf perbuatan mereka menjalani kehidupan tidak diredai Allah.

Walau apapun yang dibawa oleh pejuang hak asasi manusia, ia tidak boleh mengatasi ajaran agama. Islam mempunyai hak asasinya tersendiri yang terbit daripada ajaran dan teras agama bersendikan syarak.

Selagi mana hak asasi manusia tidak bercanggah dengan Islam ia boleh diperjuangkan. Namun jika sebaliknya, ia tidak terpakai kepada orang Islam kerana hak menganut dan mengamalkan agama itu dijamin Perlembagaan Persekutuan termasuk bagi orang Islam yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

INFO

  • Intersexed : mempunyai dua alat kelamin (khunsa).
  • Queer: Melakukan seks bukan sahaja melampaui jantina lelaki dan perempuan, tetapi termasuk dengan haiwan, pokok dan apa sahaja yang difikirkan sesuai.
  • Transexual: Golongan yang telah menjalani proses perubatan menukar alat kelamin mereka.
  • Heterosexual: Kategori normal iaitu orang yang tertarik dan menyukai pasangan daripada gender berlainan.