Kajian mendalamnya berhubung masjid ketiga suci umat Islam iaitu Masjid al-Aqsa menguatkan lagi kefahaman wanita kelahiran Palestin itu bahawa Baitulmuqaddis milik umat Islam dan baginya status quo ini akan kekal selama-lamanya.

“Al-Aqsa tidak akan dibiarkan jatuh ke tangan Zionis Yahudi yang tiada kena mengena dengan kota suci ini. Semua umat Islam wajib mempertahankannya.” Itu ungkapan yang sering diulangi Zeina dalam siri ceramahnya di serata tempat semasa berkunjung ke Malaysia, baru-baru ini.

Sebagai pelindung al-Aqsa, Zeina akan berada setiap hari di Masjid al-Aqsa untuk beribadat di samping melakukan pelbagai usaha kebajikan dan berada di barisan hadapan dalam mengawasi penceroboh Yahudi yang kerap datang bersama-sama tentera dan polis Israel.

Dunia sedia maklum sejak beberapa tahun ini, penceroboh Yahudi semakin agresif dan berani melakukan ritual agama mereka di dalam kawasan masjid sehingga menyebabkan berlaku pertempuran dengan umat Islam.

Wanita berani ini tidak pernah gentar meskipun berhadapan dengan tentera Israel yang lengkap bersenjata dan tidak teragak-agak untuk mencederakan, malah membunuh umat Islam.

Wanita berjiwa kental ini sanggup mati mempertahankan masjid kesayangannya itu. Sewaktu penulis berpeluang berbicara dengannya, wanita luar biasa ini sentiasa mengucapkan perkataan ‘Allahuakbar, Alhamdulillah, syahid dan insya-Allah’ menggambarkan betapa tenang dan tawaduknya beliau.

Zeina berada di Malaysia kira-kira dua minggu bermula awal Disember lalu yang diundang khas oleh Yayasan Al-Quds Malaysia untuk memberi ceramah dan berkongsi perkembangan terkini di al-Aqsa kepada rakyat Malaysia.

Dalam setiap ceramahnya, Zeina sentiasa mengingatkan rakyat Malaysia agar berkunjung ke al-Aqsa sepertimana disarankan dalam beberapa riwayat hadis sahih.

Menurutnya, jika umat Islam tidak melawat al-Aqsa, masjid ini mungkin akan jatuh ke tangan Yahudi yang sentiasa berusaha menyusahkan umat Islam Palestin untuk beribadat di masjid suci itu dengan bertujuan merampasnya.

Abang syahid, bapa ditangkap

Mengimbau perjuangan Zeina mempertahankan al-Aqsa, jelas wanita ini berasal dari keluarga pejuang yang hebat. Bapanya, Saed yang lahir pada 1898 adalah Pejuang Pembebasan Palestin (PLO) dan pernah ditangkap tentera British pada 1930.

Selepas kekalahan tentera Arab dalam pertempuran pada 1967, keluarga Zeina berpindah ke Jordan. Seorang daripada abangnya, Zainaddin menganggotai PLO dan berpindah ke Beirut, Lubnan.

Terkenal dengan nama Sabri, abangnya tewas dalam serangan udara Israel. Pada 1975, keluarga Zeina berpindah semula ke Palestin sebelum beberapa tahun selepas itu mereka berpindah ke Jerman. Di Jerman bapanya membuka sekolah pengajian Islam yang masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Pulang dari Jerman, Zeina mula aktif dalam perjuangan mempertahankan al-Aqsa sejak 1993 bersama dengan wanita Palestin lain dan anak-anak mereka. Sejak itu, beliau pernah dipukul dan dicederakan, malah rumahnya dirobohkan oleh tentera Israel dalam satu tindakan ganas yang bertujuan melemahkan semangat kalangan aktivis Palestin mempertahankan al-Aqsa.

Sementara itu, bapanya pula ditangkap dan dipenjarakan oleh Israel ketika berusia 80 tahun.

Simbolik hadiah

Sepanjang di Malaysia, Zeina Amr diundang mengadakan ceramah di masjid-masjid, institusi pengajian tinggi awam dan berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di bangunan Parlimen.

Zeina juga menyampaikan ucapan dalam persidangan bersama ketua-ketua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta menjelajah ke beberapa negeri termasuk Pahang, Johor dan Kuala Lumpur.

Dalam setiap ceramahnya, Zeina akan menyerahkan tanah dan daun pokok zaitun diisi dalam karung kecil yang dibawa khas dari Palestin untuk dihadiahkan kepada pihak ditemuinya sambil berpesan agar memulangkan semula ‘hadiah simbolik’ ini ke Palestin apabila negara itu dibebaskan daripada penjajahan.

Pada akhir bicara, wanita berani pelindung al-Aqsa ini berpesan, ‘jangan lupa datang ke al-Aqsa melawat kami dan bersolat di al-Aqsa yang mulia.’

Bagi penulis, sebagai aktivis kemanusiaan, nilai perjuangan rakyat Malaysia terlalu kecil berbanding Zeina yang sanggup bermandi darah dan mati demi mempertahankan al-Aqsa.

Sebagai umat Islam, marilah kita membantu saudara seagama yang kini terus ditindas dengan menyalurkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

Sumbangan ini akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan dan pemeliharaan masjid dan kawasan persekitaran yang kerap rosak akibat projek penggalian bawah tanah serta serangan oleh pelampau Yahudi dan pasukan keselamatan Israel.