Apa yang perlu dilakukan, kata Anuar, mereka harus memastikan saham itu selaras dengan ketetapan Fatwa Negeri Selangor berhubung hal berkaitan dengan pelaburan.

“Saham tidak mudah turun nilainya, namun kami bimbang bila sudah wakaf berlaku susut nilai begitu jauh dan ini boleh menyebabkan hasrat amal jariah mereka hilang begitu sahaja.

“Kami mahu pertahankan nilai unit-unit saham tersebut ketika ia mula-mula diwakafkan supaya mereka yang mewakafkannya dapat pahala secara berterusan,” katanya.

 

Tetapi kata Anuar, bagi memudahkan urusan itu, para pedagang saham dinasihatkan supaya menukar nilai unit saham yang mereka ingin mewakafkan itu dalam bentuk wang tunai.

“Untuk sementara ini bagi yang hendak cepat melaksanakan amal jariah itu, kami nasihat pelabur untuk tunaikan dulu unit-unit saham yang ingin diwakafkan kerana ia memudahkan kami laksanakan.

“Kami juga bimbang jika prosedur mewakafkan unit saham itu siap beroperasi ketika mereka sudah tiada (meninggal dunia) lagi atas muka bumi,” katanya.

KREDIBILITI PWS

DALAM usaha sedemikian, sudah pasti akan ada pihak mempersoalkan tahap kredibiliti PWS bagi mengurus dan membangunkan harta wakaf di seluruh Selangor.

Bagi Anuar, masyarakat Islam perlu jelas bahawa pemegang amanah tunggal wakaf di Selangor adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan PWS diwujudkan oleh MAIS untuk mengurus kutipan serta membangunkan harta wakaf di Selangor.

“Kami laksanakan tugas dan tanggungjawab itu bukan hanya sejajar dengan enakmen serta fatwa negeri, tetapi setiap tahun akan ada pihak ketiga yang mengaudit seluruh operasi PWS.

“Setakat ini keputusan audit pihak ketiga itu menunjukkan kami menjalankan tugas dan tanggungjawab sejajar dengan apa yang ditetapkan,” katanya.

Setakat ini PWS telah membina lapan masjid bernilai ratusan juta, 35 surau dan melaksanakan lebih 200 wakaf khas. Bagi tahun ini PWS akan melaksanakan beberapa projek besar dan antaranya adalah membina Wakaf Centre di Seksyen 7, Shah Alam.

Projek lain tahun ini adalah membina beberapa buah masjid di Denai Alam dan Alam Impian (Shah Alam) serta Teras Jernang (Bangi).

Justeru Anuar menasihatkan pedagang saham untuk mendapatkan input terkini berkenaan isu itu dalam laman web rasmi PWS iaitu www.wakafselangor.gov.my.

Tambah beliau, PWS juga sentiasa mengunjungi syarikat swasta, syarikat milik kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi bagi sesi penerangan berkenaan amalan berwakaf dan peranan PWS sendiri.

“Gerak kerja sedemikian penting bagi memastikan kesedaran dalam kalangan umat Islam berkenaan amalan berwakaf sentiasa segar,” katanya.