Bahkan sebelum usia meningkat tua pun tubuh manusia sudah lemah dan mudah disakiti walaupun yang mencucuk hanya sebatang selumbar di hujung jari. Selagi sang selumbar tidak dicabut, rasa sakit akan terus mencucuk tanpa henti.

Bukti utama kelemahan manusia adalah tidak mampu menghalang malaikat maut mencabut nyawa. Sudah ditetapkan Allah bahawa manusia yang lemah ini akan mengecap mati sebagai sumpahan hidup mereka di dunia.

Firman Allah SWT: “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya? Setiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan,” (al-Anbiya’ [21:34-35]).


TIADA TERKECUALI


Apabila malaikat maut datang membawa watikah mati daripada Allah, kita tak dapat menolak takdir itu walaupun pagar rumah kita setinggi gunung atau pengawal peribadi berwaspada di sekeliling pinggang. Usahkan kita yang tiada nilai di sisi Allah, kekasih-Nya sendiri pun turut disapa sifat mati:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu),” (Ali ‘Imran 3:144).

Itulah lumrah hidup di dunia, tiada yang kekal. Lain halnya dengan kehidupan akhirat. Ia kehidupan abadi tanpa mati. Sifat mati sebenarnya sejenis makhluk ciptaan Allah yang ‘dipencenkan’ fungsinya di akhirat kelak. Ia antara perkara ghaib yang dijelaskan rahsianya oleh Allah dan Rasulullah.

“Di belakangnya disediakan neraka jahanam, dan dia (ahli neraka) akan diberi minum air nanah (yang keluar daripada tubuh ahli neraka). Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir sahaja tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan dia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang dia tidak pula mati (supaya terlepas daripada azab seksa itu); dan selain daripada itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat,” (Ibrahim 14:16-17).


TIADA MATI 
DI AKHIRAT

Bukan hanya Allah, Rasulullah SAW turut menjelaskan rahsia ‘ketiadaan mati’ di akhirat kelak:

“(Di akhirat kelak) Kematian didatangkan dengan bentuk kambing berkulit hitam putih, lalu seorang penyeru memanggil: Wahai penghuni syurga! Mereka menjengok dan melihat. Penyeru itu berkata: Apakah kamu semua kenal benda ini? Mereka menjawab: Ya, ini adalah (sifat) mati. Semua (penghuni syurga) telah melihatnya.

“Kemudian si penyeru memanggil lagi: Wahai penghuni neraka! Mereka menjengok dan melihat. Penyeru itu berkata: Apakah kamu semua kenal benda ini? Mereka menjawab: Ya, ini adalah (sifat) mati.

“Mereka semua telah melihatnya, lalu (sifat) mati itu disembelih di antara syurga dan neraka, kemudian si penyeru itu berkata: Wahai penghuni syurga, kekallah (kamu) maka tiada lagi kematian, dan wahai penghuni neraka, kekallah (kamu) maka tiada lagi kematian!” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Isu mati turut menjadi dialog tempelak antara ahli syurga dan neraka. Pedih sekali sindiran ahli syurga terhadap ahli neraka sebagaimana direkodkan Allah dalam firman-Nya:

“Maka dia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada di tengah neraka yang menjulang-julang. Dia pun (menempelak dengan) berkata:” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.

“Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya aku akan jadi dalam kalangan orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab).”

“(Kemudian dia berkata kepada rakannya yang sedang menikmati kesenangan di syurga bersama): “Bukankah kita (setelah mendapat nikmat ini) tidak akan mati lagi, “Selain daripada kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa?” Sesungguhnya (nikmat kesenangan syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar,” (al-Saffat 37:55-60).

Dalam firman lain, Allah turut menceritakan bagaimana sudah tiada mati kedua kepada penghuni alam akhirat:

“Sesungguhnya orang yang bertakwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa, iaitu dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya, Mereka memakai pakaian daripada kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadapan (atas pelamin). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. Mereka meminta dalam syurga itu setiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa. Mereka tidak merasai kematian dalam syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka daripada azab neraka,” (al-Dukhan 44:51-56).

Apa yang perlu dipelajari daripada cerita ajaib ‘matinya sifat mati’ di akhirat kelak ini? Tidak lain Allah mahu sedarkan kita agar membuat keputusan tepat tentang laluan hidup di dunia. Jika betul pilihan, maka kekallah kita dalam syurga kelak, manakala jika salah kitalah manusia paling bodoh dan malang di sana!

Mohon dijauhkan Allah!