Imam Tua, Ismail Adam berkata, kos pembinaan masjid baharu tiga tingkat di tapak asal seluas 1,152 meter persegi di Kampung Tunjong di sini yang terletak kira-kira 9 kilometer dari pusat bandar dianggarkan mencecah nilai RM4.38 juta.

 Beliau berkata, masjid lama satu tingkat sebelum ini hanya boleh menampung kapasiti jemaah sehingga 800 orang sahaja tetapi masjid baharu itu dijangka mampu memuatkan 2,000 jemaah pada satu-satu masa sekali gus dapat memenuhi keperluan penduduk yang jumlahnya semakin meningkat.

 "Masjid ini berasal daripada sebuah surau kayu di atas tanah milik keluarga Tok Da Yeh atau Idris Merah yang dibina sebelum zaman penjajahan Jepun lagi.

 "Kemudiannya anak-anak Tok Da Yeh telah mewakafkan tapak surau kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang menaiktaraf surau kepada masjid dan menukar binaan kayu kepada batu.

 "Malah pembukaan masjid mencatat sejarah apabila dirasmikan oleh Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba pada 29 Jun 1972 yang ketika itu merupakan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

 Ismail berkata, perancangan membina masjid yang lebih besar telah difikirkan secara serius sejak beberapa tahun lalu dan pihaknya bertuah kerana pendakwah terkenal iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bersetuju menjadi penaung jawatankuasa kerja pembinaan masjid.

 Sementara itu, Pengarah Projek, Zaihan Muhammad berkata, kerja-kerja awal pembinaan telah pun dimulakan setelah bangunan masjid lama dirobohkan pada pertengahan bulan lalu.

 "Kita sudah mulakan pembinaan tuku dan tiang, kita jangka aras satu masjid akan siap pada bulan Mei tahun hadapan dan boleh digunakan buat sementara terutama untuk solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

 "Pembinaan masjid baharu tiga tingkat ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2021, setakat ini kerja-kerja kita lakukan berjalan lancar malah masyarakat bukan sahaja menderma dari sudut kewangan tetapi juga menyumbang bahan asas binaan seperti tiang, pasir dan simen, "katanya.

 Semua sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Pembinaan dan Infrastruktur Masjid Mukim Tunjong melalui nombor akaun 03120010007104 (Bank Islam); 03020001832711 (Bank Muamalat) dan 553038597763 (Maybank).

 Untuk sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Ismail di talian 01126021307. - UTUSAN ONLINE