Oleh kerana permintaan melebihi kemampuan, maka pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan disaring dengan pelbagai ujian yang mencabar fizikal dan mental mereka untuk kemasukan tingkatan satu sesi Januari 2019.

Mulai minggu lepas berlangsungnya pendaftaran pelajar baru di sekolah-sekolah yang menawarkan program TMUA. Tarikh kemasukan adalah berbeza mengikut jenis sekolah dan perancangan pihak sekolah terbabit.

Dalam konteks Kementerian Pendidikan, program TMUA adalah berdasarkan Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025. 

Ini kerana kementerian sangat komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi bagi melengkapkan murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya di dalam pasaran kerja berteraskan nilai Islam.

SEJARAH PENUBUHAN

Idea TMUA dicetuskan oleh bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Ketika beliau menjadi Menteri Besar Terengganu, program ini dijalankan sebagai percubaan di Sekolah Menengah Imtiaz di seluruh negeri itu. 

Ketika diamanahkan sebagai Pengerusi Mara, beliau melaksanakan model itu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Ketika beliau berjawatan Menteri Pendidikan II, TMUA diadakan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). 

Seterusnya ketika beliau dilantik Menteri Pengajian Tinggi, program bermanfaat ini diperluaskan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berminat seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pada 7 Disember 2013, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Model Pendidikan Islam Ulul Albab diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara mulai 2014. 

Program ini mula dilaksanakan secara rasmi di SMKA Kuala Lumpur bermula 16 Januari 2014 dengan pengambilan pertama seramai 150 pelajar dan 15 guru. 

TMUA merupakan gabungan antara Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepada Tahfiz (KBT) dan Program Ulul Albab yang berasaskan pendekatan Quranik, Ensiklopedik. Ia juga adalah nilai tambah kepada sistem pendidikan agama yang dilaksanakan di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan. 

Murid-murid yang lahir menerusi sistem ini dijangka memenuhi keperluan guna tenaga profesional bertaraf hafiz serta mempunyai pegangan agama kukuh.

TMUA dilaksanakan bagi mencapai objektif melahirkan modal insan yang mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran, seorang profesional mempunyai asas keagamaan berlandaskan al-Quran dan sunah, berketerampilan, berwibawa dan berkepemimpinan.

Ini bermakna, dalam program ini pelajar dikehendaki menghafaz 30 juzuk al-Quran serta memahami kandungan berdasarkan konsep Baca, Ingat, Faham, Fikir, Amal dan Sebar ( BIFFAS ).

Murid akan mempelajari serta mengikuti mata pembelajaran Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran.
Program ini juga menyediakan kaedah asas kepada murid untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu dan bahasa, berkemahiran tinggi serta mampu bertindak sebagai pakar rujuk pada masa akan datang.

SERBA BOLEH

Seterusnya, program TMUA juga menyediakan ruang kepada murid yang berupaya memberikan pandangan dalam menyelesaikan masalah, memaksimumkan keupayaan berfikir aras tinggi, kreatif dan inovatif. Pendekatan ketiga-tiga elemen akan dilaksanakan secara bersepadu melalui pengintegrasian antara kurikulum dan kokurikulum.

Pada 2019, TMUA berjaya dilaksanakan di empat jenis sekolah iaitu Sekolah Menengah Imtiaz (SMI), MRSM, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan SMKA. 

Berdasarkan pengalaman penulis ketika berkongsi kepakaran dengan pelajar TMUA, ternyata luar biasa berbanding pelajar biasa. Mereka bukan sekadar hafaz al-Quran tetapi berjaya memperoleh kejayaan cemerlang dalam akademik iaitu SPM, aktif kokurikulum dan berakhlak mulia.

Antara sekolah TMUA yang pernah menganjurkan Bengkel Kuasai Bahasa Arab bersama penulis ialah SMI Kota Putera Besut, Dungun dan Kemaman Terengganu; MRSM Kota Putra, Besut Terengganu; MRSM Kepala Batas Pulau Pinang; MRSM Sg. Besar Selangor; SBPI Rawang, Selangor dan banyak lagi.

Antara rahsia kejayaan program TMUA ialah pelajar mampu menguasai bahasa Arab. Kuasai bahasa Arab bererti menguasai hafazan dan kefahaman al-Quran dan hadis. Apabila para pelajar memahami al-Quran dan hadis, mereka dapat menterjemahkan dalam kehidupan seharian. 

Hasilnya mereka bakal beroleh kejayaan di dunia dan  akhirat. Semoga model TMUA menjadi inspirasi kepada warga Malaysia dan pasti mendapat sokongan daripada seluruh rakyat dan kerajaan Malaysia baharu.