Pendakwah bebas dari Pekanbaru, Riau itu berkata, golongan dai yang dimaksudkan dalam al-Quran adalah orang yang membawa manusia ke jalan Allah.

Katanya, dai adalah mereka yang membawa manusia dari ‘jalan syaitan’ menuju ke jalan Allah, dari jalan kemungkaran ke masjid atau dari jalan kesesatan dibawa menuju ke jalan zikir.

“Abdul Somad tidak pernah melakukan itu. Yang membawa tahanan bertatu dari pasar ke rumah Allah, dia itu bukan ustaz dan juga bukan diri ini.

“Dia tidak pernah belajar di Cairo (Kaherah), dia juga tidak pernah berada di Universiti al-Azhar, tidak juga pernah berkuliah di Madinah tetapi dengan lidahnya dia membawa orang ramai ke jalan Allah. Maka dia itulah dai yang sebenarnya,” jelas pendakwah yang terkenal dengan kelantangannya memberi ceramah.

Mengulas lanjut, Abdul Somad berkata, seorang dai bukanlah individu yang 
mahu dirinya dikenali 
di muka bumi kerana keikhlasannya melaksanakan tuntutan dan kewajipan kepada Allah.

Jelasnya, situasi itu agak berbeza dengan sebilangan golongan masyhur semasa hayatnya di muka bumi, tetapi malaikat tidak pernah mengenal dirinya, malah tidak pernah dicatat oleh malaikat akan amalannya.

Menurutnya, semua itu terjadi kerana terdetik perasaan riak dan takbur dalam diri si pelaku semasa melaksanakan amalan baik dan mengharapkan pembalasan.

“Tapi berapa banyak di dalam dunia ini, dia bukanlah siapa-siapa pun, malah dia diremehkan oleh masyarakat, diperlekehkan orang serta turut dicaci dan dimaki. Namun, malaikat pada setiap hari membawa catatan amalnya kepada Allah.

“Solat subuh malaikat membawa catatan amalnya. Solat asar dan pada waktu petang, malaikat membawa lagi catatan amalnya bagi ditunjukkan kepada Allah.

“Malaikat berkata, inilah hamba-Mu Ya Allah yang sentiasa reda menerima takdir-Mu, senantiasa dihina dan direndahkan tetapi dia tetap tidak pernah hina di depan manusia. Kenapa? Kerana yang dibawanya itu adalah nama Allah dan yang dibawanya juga nama Rasulullah,” katanya.

Abdul Somad berkata, justeru adakah kata-kata lebih indah atau orang lebih mulia daripada golongan yang mengajak orang ramai ke jalan Allah?

Namun, segala kerja dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah dan para sahabat pada suatu masa dahulu telah ditinggalkan, malah dipinggirkan orang ramai pada hari ini.

“Malam ini setelah semuanya datang ke rumah Allah, berkumpul, duduk berjemaah dengan hati yang lembut barulah dipanggil al-Ustaz Abdul Somad.

“Namun Abdul Somad tidak pernah mengajak orang ke jalan Allah, dia hanya menyampaikan ayat Allah dan hadis Rasulullah kepada 
hati-hati lembut, tetapi melunakkan hati yang keras itu adalah dia yang berada nun di terminal sana (di kawasan lain).

“Melunakkan hati yang keras, nun berada di tempat dosa sana. Tidak ada yang tahu siapa dia. Dia hanya berharap kepada reda Allah kerana 
ketika pagi yang dia ucapkan redaku kepada Allah sebagai Tuhanku dan Islam agamaku,” katanya.

Jelasnya, yang ada di hujung lidahnya adalah mereka yang sering mengucapkan ‘Engkau yang ku maksudkan Ya Allah, tidak ada lain yang ku pinta selain reda-Mu Ya Allah’.

Tegasnya, bukan reda manusia dipinta dan bukan juga gelaran atau pangkat. Tidak juga kekuasaan serta kepentingan yang diinginkan, tetapi hanya reda Allah dan Rasulullah.