Namun, ikatan tersebut boleh menjadi mimpi ngeri jika ditakdirkan tersalah pilih pasangan lebih-lebih lagi bagi wanita.

Menurut Dai Luqman, ada yang bertanya, apa harus dilakukan jika ditakdirkan memperoleh pasangan mempunyai nafsu sejenis dan tidak pernah melakukan hubungan suami isteri?

Beliau berkata, antara langkah boleh diambil adalah dengan mengadakan perbincangan bersama pasangan untuk berubah dan memperbaiki diri kembali ke pangkal jalan.

“Sekiranya masih tidak boleh diselesaikan, pasangan suami atau isteri tersebut boleh merujuk kepada mahkamah menerusi Majlis Sulh sebelum bercerai,” katanya.

Tambahnya, penceraian sememangnya tidak digalakkan namun apabila perkahwinan itu lebih mendatangkan mudarat, maka perpisahan adalah jalan terbaik.

“Oleh itu, sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, setiap orang boleh menyiasat terlebih dahulu latar belakang pasangan sama ada melalui rakan-rakan atau ahli keluarga untuk mengelakkan tersalah pilih pasangan,” ujarnya.

LGBT BUKAN FITRAH, TAPI NAFSU

Nafsu songsang atau menyukai jantina sesama jenis bukanlah lahir dalam naluri semula jadi, sebaliknya datang daripada keinginan dan pilihan individu tersebut.

Perkara itu diakui oleh Dai Luqman ketika ditanya berhubung perkara itu yang sering dijadikan alasan segelintir pihak bagi menghalalkan perbuatan tersebut.

Katanya, setiap manusia memang ada nafsu dalam diri masing-masing, namun dikurniakan akal fikiran untuk membezakan perbuatan salah dan betul.

“Cuba kawal nafsu tersebut dan bukan sekadar menjadi pak turut nafsu. Memang agak sukar pada mulanya, namun kita mampu melakukannya dengan amalan-amalan seperti membaca al-Quran dan memahami maknanya, mendirikan solat malam serta memperbanyakkan berzikir,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa, setiap individu perlu menambah ilmu pengetahuan di samping mengukuhkan pengetahuan agama supaya tidak terjebak dengan gejala tidak bermoral.

“Perlu diingatkan bahawa ilmu, iman dan amal adalah antara perisai utama untuk mengelakkan kita daripada melakukan kejahatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dai Luqman turut memberitahu bahawa dalam setiap perkahwinan untuk bahagia, pasangan suami isteri digalakkan untuk solat berjemaah sekurang-kurangnya seminggu sekali.

“Penceraian dapat dielakkan sekiranya pasangan suami dan isteri kerap solat berjemaah kerana rata-rata pasangan yang bercerai mengakui mereka tidak pernah mendirikan solat bersama pasangan.

“Di samping itu, untuk mengecapi kebahagiaan dalam alam perkahwinan, suami isteri boleh berbincang sekiranya menghadapi seberang masalah dan elakkan menyebarkan masalah tersebut di media sosial kerana apabila melibatkan pihak ketiga secara tidak langsung akan lebih mengucar-kacirkan keluarga,” katanya.