Ketika rakan seusia sedang gembira menikmati masa muda dengan bermain dan belajar, namun berbeza bagi kanak-kanak kurang bernasib baik itu yang sedang hebat bertarung nyawa untuk hidup.

Krisis kebuluran, ditimpa penyakit berbahaya, kehilangan ibu bapa dan keluarga serta tiada tempat berlindung, itulah antara hari-hari dilalui kanak-kanak Rohingya yang bergantung sepenuhnya kepada ihsan dan simpati dunia terhadap mereka.

Namun, oleh kerana belum mengenal dan memahami erti kehidupan sebenar terutama tentang masa depan, lantas kebanyakan kanak-kanak pelarian leka bermain tidak mengira masa, panas, hujan, siang dan malam.

Kesakitan dan kesukaran kelihatannya senang dan cepat dilupakan. Pelbagai kisah kanak-kanak pelarian Rohingya yang disampaikan daripada perjalanan kemanusiaan ini diakui kebenarannya oleh banyak pihak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam satu laporannya memberi amaran bahawa kanak-kanak Rohingya tidak berpendidikan bakal menjadi ‘generasi yang hilang’ dan menghadapi masa depan kabur.

Laporan daripada Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) pula menyebut, kehidupan dan masa depan lebih 400,000 kanak-kanak di kem pelarian di Bangladesh kini dalam bahaya ketika nasib ratusan ribu yang lain masih berada di Myanmar dan terputus bantuan tidak diketahui.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) juga percaya ratusan kanak-kanak Rohingya di kem pelarian adalah buta huruf. Ramai yang tidak mengenal huruf, tidak boleh membaca dan mengira.

DAHAGAKAN PENDIDIKAN

Menginsafi nasib dan masa depan mereka yang kabur, Persatuan SympathySociety secara berterusan melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu masyarakat pelarian di sini termasuk kanak-kanak.

Meskipun lebih banyak usaha ditumpukan terhadap bantuan fizikal seperti sumbangan makanan, ubat-ubatan, pakaian selain program anak angkat, SympathySociety juga berharap dapat melaksanakan program-program bercorak pendidikan kerana inilah satu-satunya jalan untuk menjamin masa depan mereka yang lebih baik.

Satu-satunya halangan terbesar dihadapi pertubuhan bukan kerajaan ialah kedudukan pelarian yang tidak menentu sama ada dihantar pulang atau masih kekal di Cox’s Bazar.

Jika dihantar pulang, bangunan tadika atau sekolah yang dibina akan terbengkalai sementara bahan-bahan pembelajaran akan ditinggalkan dan ini suatu pembaziran.

Meskipun begitu, ia bukanlah alasan untuk tidak melaksanakan program-program pendidikan kepada kanak-kanak pelarian.

Program jangka pendek seperti mewujudkan kelas bacaan, kelas menulis dan mengira serta kelas bahasa boleh dilaksanakan. Di samping itu bahan-bahan bacaan dan pembelajaran serta alat-alat tulis sangat-sangat diperlukan.

SympathySociety merayu keprihatinan rakyat Malaysia untuk bersama-sama membela nasib kanak-kanak Rohingya ini demi masa depan mereka yang lebih baik dengan mengambil bahagian melaksanakan program-program pendidikan jangka pendek ini.

Berikut penulis berkongsi beberapa kisah penderitaan kanak-kanak di kem pelarian Rohingya:

Kisah 1

Saya menemukan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mundar- mandir bersendirian, berkaki ayam, comel wajahnya yang disapu bedak. Di belakang badannya menggalas sebuah beg.

Apabila ditanya hendak ke mana? (dengan bantuan jurubahasa), dia menjawab dengan pantas, ‘hendak ke sekolah.’ Di mana sekolah? Kanak-kanak ini tidak menjawab sebaliknya merenung sahaja ke arah saya. Hakikatnya memang tiada sekolah di kem pelarian.

Kisah 2

Seorang kanak-kanak perempuan menangis teresak-esak sambil memeluk muqadam. Apabila ditanya kenapa menangis? Dia tidak menjawab. Saya diberitahu rupa-rupanya kanak-kanak ini baru sahaja tiba (Oktober 2017) di kem dari Myanmar. Kanak-kanak ini sebatang kara, ibu bapanya dilaporkan sudah mati di Myanmar.

Untuk apa muqadam ini? Daripada jurubahasa kanak-kanak ini memberitahu bahawa ibunya pernah berpesan supaya rajin membacanya semasa dalam kesusahan. Terdiam saya, sedih dan terpegun, seolah-olah satu pesanan yang luar biasa untuk kanak-kanak ini meneruskan kehidupannya bersendirian di kem.

Kisah 3

‘Saya lari meninggalkan ibu bapa yang ditangkap tentera Myanmar. Kakak saya berlari memeluk ibu, saya melihat mereka bertiga kemudiannya ditembak sampai mati, ramai lagi jiran-jiran saya turut ditembak dan dibunuh, saya takut dan terus berlari bersama-sama penduduk lain menuju ke sungai dan akhirnya tiba di sini di Bangladesh.’

Seorang remaja lelaki berkongsi kisah sedih yang menimpa diri dan keluarganya di kem Bumiphara.

Kisah 4

Saya melihat majoriti kanak-kanak yang berbogel atau separa bogel dan berkaki ayam, perutnya buncit meskipun tubuhnya kurus kerana banyak cacing. Kekurangan makanan selain makanan tidak berzat menjadikan mereka dalam keadaan begitu sepertimana kanak-kanak yang kebuluran di Afrika.

Sewaktu memasuki sebuah rumah, saya melihat seorang kanak-kanak menangis teresak-esak sehingga hilang suaranya sedang terbaring separa bogel di atas lantai tanah. Ibunya memberitahu, anaknya tidak boleh membuang air besar dan demam panas sudah hampir sebulan tanpa sebarang ubat dan rawatan. Hakikatnya ini adalah suatu fenomena biasa di kem pelarian.

Kisah 5

Fenomena biasa di kem pelarian ialah anda akan saksikan ramai kanak-kanak yang berjalan dan mundar-mandir di kawasan kem memegang atau membawa beg, botol dan bekas.

Kenapa? Mula-mula saya terkejut tetapi kemudian saya akur. Mereka membawa peralatan ini untuk mengisi sebarang barang terutama makanan dan minuman sekiranya mereka berjumpa atau dapat di mana-mana. Ia termasuk sewaktu merayu dan meminta sesuatu daripada saya mahupun orang luar kerana mereka percaya kami datang untuk membantu mereka.

Kisah 6

Anda akan melihat kanak-kanak berusia serendah enam atau tujuh tahun berada di parit, lubang, paya, sungai dan di mana-mana sahaja kawasan yang berair untuk mandi-manda sementara ramai juga yang lain ‘membuang’ di kawasan terbuka tanpa segan silu kerana ketiadaan tandas mahupun bilik air.

Kisah 7

Selain wanita dan lelaki, saya melihat ramai kanak-kanak yang beratur untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan seperti beras, tepung, susu, gula dan keperluan asas lain di pusat bantuan.

Dalam pemandangan ini saya melihat ada antara kanak-kanak ini disebat dan dipukul dengan rotan oleh anggota keselamatan Bangladesh. Kasihan saya melihat mereka dipukul begitu.

Tetapi kenapa? Kerana terdesak, rupa-rupanya mereka mencuri atau beratur lebih daripada sekali untuk mendapatkan bantuan. Memang mereka salah, namun adakah salah mereka?

Kisah 8

“Saya tidak tahan tinggal dalam rumah, panas.” Keluh seorang remaja perempuan ketika saya mendekatinya.

“Banyak kali saya demam dan kulit saya jadi hitam,” tambahnya lagi.

Meskipun etnik Rohingya berkulit agak gelap, kerisauan remaja ini menggambarkan bahawa dia kanak-kanak perempuan biasa, mahu cantik dan mahu selesa seperti orang lain.

Hakikatnya rumah-rumah di kem pelarian memang dalam keadaan daif dan tidak layak didiami manusia, panas, berdebu, kotor dan sempit. Sesetengahnya hanya layak didiami binatang.