Penulis dahulu turut percaya perkara sama iaitu ajal pemilik saka bergantung kepada kewujudan saka jinnya. Biasa dikatakan pemiliknya sudah lama mati tetapi tubuhnya seakan hidup kerana dipinjam saka belaannya.

 

Setelah mengenal hakikat kuasa Allah sebagai satu-satunya zat yang menghidup dan mematikan makhluk, barulah penulis sedar fahaman sebegitu sebenarnya salah.

Jelas sekali Allah tegaskan perkara ini dalam firman-Nya bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan.” (al-Najm: 44)

Juga firman Allah ertinya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan; (Dia lah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.” (al-Dukhan: 8)

Jika dikatakan tubuhnya seakan hidup kerana ditumpang saka, itu seakan memberi kuasa menghidup kepada saka jin. Jika dikata susah mati kerana saka belum disanggup pewaris lain, itu pula seakan menyatakan saka jin berkuasa mematikan.

Lebih tepat boleh disebutkan, si fulan itu meninggal dunia pada waktu dan saat tarikh mati yang ditentukan Allah padanya semenjak azali. 


HATTA MALAIKAT

Usahkan si jin saka atau syaitan, malaikat maut sekalipun tidak berkuasa mencabut nyawa jika Allah tidak izinkan kerana mereka hanyalah wakil. Siapalah si wakil jika kuasa pewakilan ditarik pemilik asal segala sesuatu.

Ini disebut Allah ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)” (al-Sajdah 32:11).

Jika dihimpun si iblis, jin Ifrit atau jin saka dalam satu gelanggang dengan malaikat maut, makhluk api itu pasti akan terkencing kegentaran. Apa tidaknya, nyawa mereka mudah dicabut oleh malaikat maut sekiranya diizinkan Allah.

Malaikat maut hanya bertindak mencabut nyawa setelah ‘lesennya’ dikeluarkan Allah pada waktu tiba ajal seseorang makhluk.

Firman Allah ertinya: “Dan (setiap) makhluk bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya daripada balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya daripada balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang bersyukur.” (Ali ‘Imran: 145).

Ajal juga merupakan antara rahsia Allah yang mustahil diketahui oleh sesiapa.

Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua menurunkan hujan, dan mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seseorang pun betul mengetahui apa akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” (Luqman: 34).

Oleh itu, bersandarlah kepada yang pasti bukannya persepsi atau sekadar cerita. Tiada yang pasti melainkan wahyu Allah. Betulkan bahasa anda dalam bicara mati.

Allah adalah pemegang nyawa manakala sakit, kemalangan dan mara bahaya hanyalah sebab musabab nyawa dicabut malaikat maut.