Tidak pelik. Mungkin situasi ini juga bakal kita lakukan jika diberi peluang menjejakkan kaki ke masjid tumpuan seluruh umat Islam itu kerana tidak mahu diganggu masalah pencernaan sama ada kecil atau besar ketika beribadah.

Apa tidaknya, setelah bersesak dengan jutaan jemaah lain dan mendapatkan lokasi ‘strategik’ di hadapan Kaabah, terpaksa meninggalkan tempat duduk serta berpisah dengan rakan pasti dianggap sesuatu yang merugikan.

Dr. MOHD. NAZALUDDIN MAT NAZIR
DR. MOHD. NAZALUDDIN MAT NAZIR 

Apatah lagi ia ‘menyerang’ pada saat kritikal iaitu hampir atau ketika masuknya waktu solat fardu.

Pegawai Perubatan Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Mohd. Nazaluddin Mat Nazir berkata, perkara yang dianggap leceh itulah antara kesalahan lazim dilakukan kebanyakan jemaah haji ketika di Tanah Suci.

Kesalahan itu tambahnya, bukan sahaja boleh menyebabkan dehidrasi, malah mengundang kepada penyakit lain yang lebih kritikal seperti tidak bermaya atau pengsan.

“Ramai yang anggap remeh, tetapi ini adalah penjagaan paling penting ketika berada di negara zon beriklim panas seperti Mekah dan Madinah. Apabila tubuh kurang air, ia boleh menyebabkan darah menjadi rendah, kitaran haba dalam tubuh terganggu yang menjadikan suhu badan meningkat.

“Mereka berpotensi diserang strok haba lebih-lebih lagi bagi golongan berusia. Apatah lagi tidak mengambil perlindungan tambahan seperti tidak memakai payung atau tutup kepala, penutup hidung dan mulut serta tiada pengambilan vitamin pencegahan,” katanya berkongsi pengalaman sebagai Urusetia Sahabat Tabung Haji Bahagian Kesihatan ketika menunaikan haji pada 2015.

PERSEKITARAN BERBEZA

Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun lazimnya jemaah sedia maklum dan sentiasa diingatkan tentang perbezaan persekitaran terutama suhu dan udara di tanah suci, namun ia tidak memadai jika tidak melakukan sebarang persediaan sejak dari tanah air.

“Pastinya semua tahu keadaan di tanah suci terutama di Mekah. Pembinaan dalam masjid dan sekitarnya sehingga kini giat dijalankan menyebabkan udara di sana berdebu. Bagi jemaah yang mempunyai masalah asma, ini merupakan cabaran utama mereka dan memerlukan penjagaan rapi.

“Begitu juga jemaah lain, jika terlalu banyak udara berdebu dihidu boleh menyebabkan saluran pernafasan dijangkiti kuman. Lebih teruk lagi ia boleh sampai ke paru-paru yang mengakibatkan jangkitan radang paru-paru atau pneumonia sehingga perlu mendapat rawatan di hospital.

“Apatah lagi jika ia berlaku kepada jemaah berusia dan mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, jantung dan buah pinggang, ini akan menyebabkan keadaan lebih teruk sehingga perlu diwadkan di unit rawatan rapi kerana berpotensi membawa maut,” jelasnya.

Justeru, Mohd. Nazaluddin menasihatkan jemaah haji supaya memberi penekanan terhadap kesihatan agar dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna bermula tiba di tanah suci sehingga pulang ke tanah air.

“Ibadah haji merupakan amalan yang memerlukan sepenuhnya kekuatan fizikal dan mental. Dalam ghairah mengejar ibadah jangan sampai kita mendapat penyakit lebih-lebih lagi ketika waktu puncak iaitu waktu manasik haji kerana ini adalah kemuncak ibadah kita di sana.

“Sebaliknya jemaah perlu bijak dalam beribadah seperti elakkan pulang ke hotel pada setiap waktu solat iaitu dengan beriktikaf atau menunggu dua waktu solat. Ini dapat menjimatkan tenaga selain mengelakkan daripada terdedah cuaca panas dan debu.

“Jemaah juga boleh mendapatkan vitamin tambahan yang disyorkan perbanyakkan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan serta diberi kesihatan yang baik sepanjang di tanah suci,” ujarnya.