Beberapa siri demonstrasi aman turut diadakan untuk menunjukkan bantahan terhadap penggunaan bahasa Ing­geris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik itu. Demonstrasi ke Parlimen turut diadakan memohon pertimbangan kerajaan dan sokongan wakil rakyat supaya pelaksanaan PPSMI dimansuhkan.

Hujah utama ialah PPSMI telah mengakibatkan beratus ribu pelajar terutama di sekolah-sekolah luar bandar menghadapi masalah untuk menguasai pelajaran.

MUKA depan Utusan Malaysia memuatkan berita PPSMI dimansuh 2012. Muhyiddin Yassin mengumumkan keputu
MUKA depan Utusan Malaysia memuatkan berita PPSMI dimansuh 2012. Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan Kabinet mengenai dasar baharu pengajaran Sains dan Matematik pada sidang akhbar di Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 8 Julai 2009.

Akhbar Utusan Malaysia bertarik 9 Julai 2009 memuatkan berita bertajuk “PPSMI dimansuh 2012” melaporkan, mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

ZAINAL KLING
ZAINAL KLING 

Keputusan Kabinet itu mengubah dasar PPSMI yang dilaksanakan pada 2003.

Laporan itu memetik, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Me­layu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Ing­geris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baharu dalam pe­ngajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ke­dua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI , pe­ngajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” ka­tanya.

ISMAIL HUSSEIN
ISMAIL HUSSEIN 

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Kajian pelaksa­naan PPSMI dan pemansuhan dilakukan berikutan reaksi pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para akademik, pencinta bahasa, persatuan pelajar dan ahli-ahli politik.

Sementara itu Utusan Malaysia bertarikh 8 Julai 2009 memuatkan berita “PPSMI dimansuhkan? melaporkan, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) ketika itu, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, meletakkan harapan yang tinggi terhadap keputusan pemansuhan Kabinet itu.

“Diharap keputusan itu menjadi penentu kepada kejayaan mengembalikan dan memartabatkan bahasa Me­layu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Untuk membolehkan hasrat itu menjadi kenyataan, maka PPSMI wajib dimansuhkan dan kembali kepada asal di mana pengajaran di semua peringkat adalah dalam bahasa Melayu,’’ katanya.

Beliau juga yakin pemansuhan PPSMI itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ke­sungguhan kerajaan memartabatkan bahasa dan membina bangsa melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan yang tunggal.

Ketua Satu Gabu­ngan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) ketika itu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein berkata, PPSMI jika diteruskan akan menimbulkan masalah kepada go­longan cendekiawan.

Katanya, pelaksanaan PPSMI hanya memberi keselesaan kepada kelompok bandar manakala pelajar luar bandar akan terus tertekan sehingga mewujudkan ketidakseimbangan bagi bangsa Melayu itu sendiri.