Malah, Islam tidak menegah perkara ini selagi tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam termasuk menghormati perayaan agama lain bagi tujuan memupuk perpaduan serta semangat kejiranan.

Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu daripada negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (al-Mumtahanah:8-9)

Ayat ini mengingatkan umat Islam wajar berlaku adil serta memberi penghormatan bukan saja kepada sesama Islam, bahkan kepada kaum lain.

Dalam konteks perayaan di negara ini, masyarakat berbilang kaum wajar menghormati antara satu sama lain, malah turut sama meraikan sambutan berkenaan dengan menjaga batas agama khususnya bagi umat Islam.

Bertolak kebenaran itu, sambutan Tahun Baharu Cina di bandar Jerantut lebih signifikan apabila Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak baru-baru ini menyumbangkan sebanyak 400 bungkus pulut rendang kepada masyarakat Tionghoa di daerah itu.

Sumbangan disampaikan oleh ADUN Damak, Zuridan Mohd. Daud yang turun padang bertemu dengan peniaga dan penduduk Tionghoa sekitar Bandar Lama, Pekan Sehari, Sungai Jan dan Bandar Baharu Inderapura.

Menurutnya, sumbangan itu bertujuan memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalangan masyarakat Tionghoa di sini dan dalam masa sama mengeratkan ukhuwah antara penduduk kaum itu dengan pemimpin setempat.

“Kita berjalan kaki di lokasi terpilih dengan mengunjungi kediaman, kedai kopi dan pekan sehari lalu berjumpa dengan masyarakat Tionghoa untuk menyampaikan bungkusan pulut rendang sebagai tanda memeriahkan perayaan ini.

“Kunjungan ini membo­lehkan saya dan kakitangan pejabat DUN menyelami denyut masalah penduduk (Tionghoa) setempat dan cuba menyelesaikan menerusi bantuan agensi kerajaan di daerah ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Zuridan yang juga Pengetua Pusat Tahfiz, Maahad Dirasat Dinniyah (Madad), Temin berkata, kunjungan sempena perayaan itu dapat mewujudkan perasaan saling menghormati tanpa mengira kaum, kepercayaan politik dan agama masing-masing.

“Hasrat kita adalah untuk menyatukan semua penduduk berbilang etnik dan kepercayaan menerusi setiap perayaan sekali gus mengelakkan perpecahan selari dengan Islam yang merupakan agama rahmat serta mementingkan kedamaian antara kaum,” katanya.

Sementara itu bagi penerima, Liu Wei, 46, sumbangan pulut rendang mencerminkan integrasi budaya semua kaum dan dia menghargai keikhlasan Zuridan selain turut membantu hal ehwal kebajikan serta sosial selaku pemimpin kawasan itu.