Mungkin selama 11 bulan sebelumnya hati menjadi keras kerana terlalu mengikut kehendak hawa nafsu, namun kehadiran Ramadan pasti mampu melembutkan kembali hati yang selama ini sukar dikawal.

Ramadan mengembalikan diri mengingati Allah, menginsafi kelemahan diri serta menyedarkan

SALEHIN ABD. RAHMAN
SALEHIN ABD. RAHMAN 

tentang tanggungjawab diri terhadap makhluk lain terutama masyarakat di sekeliling.

Latihan Ramadan memupuk rasa kasih sayang dan mendidik kita untuk lebih bersikap prihatin terhadap masyarakat yang kurang bernasib baik, berada dalam keadaan kelaparan serta kehausan.

Menyedari tuntutan besar itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited meneruskan usaha memberi juadah berbuka puasa kepada golongan asnaf sepanjang Ramadan.

Tidak ketinggalan golongan gelandangan sekitar ibu kota turut disantuni dalam radar bantuan tersebut. Sebanyak 1,450 bungkus makanan beserta minuman diagihkan setiap hari bermula pukul 5 petang di 10 lokasi sekitar Wilayah Persekutuan.

Ternyata usaha berterusan MAIWP itu disifatkan khabar gembira oleh golongan sasar iaitu asnaf dan gelandangan sekitar ibu kota untuk mengharungi Ramadan dengan lebih sempurna.

Bagi Salehin Abd. Rahman, 54, inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIWP itu merupakan satu amalan murni terutama dalam menyantuni kumpulan masyarakat yang tidak bernasib baik dalam bulan penuh keberkatan ini.

Dia yang melakukan usaha dakwah secara bersendirian berkata, penyediaan makanan berbuka puasa secara percuma yang disediakan MAIWP adalah satu bentuk tanggungjawab dalam menunaikan hak kepada golongan memerlukan.

“Alhamdulillah syukur dengan penyediaan makanan ini. Sebagai seorang musafir, bantuan yang diberikan secara ikhlas ini merupakan satu bentuk bantuan diperlukan dan boleh meringankan beban,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Agihan Makanan Berbuka Puasa Kepada Asnaf 2019, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee. Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh.