Dia yang bekerja mengambil upah mengangkat barang di pasar berkata, ia bukan sahaja program yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat memerlukan, malah usaha itu juga dilihat mampu menimbulkan keinsafan terhadap kekurangan orang lain.

“Program seumpama ini mampu menyedarkan masyarakat dan menimbulkan rasa kasih sayang untuk saling membantu meringankan beban dipikul.

“Memberi makan kepada orang berpuasa dalam bulan Ramadan adalah amalan yang amat dituntut dalam Islam,” katanya.

Bantuan makanan yang diedarkan oleh MAIWP itu bukan sahaja menyantuni golongan asnaf, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat bukan Islam.

Sebagai contoh, seorang penerima bantuan bukan Muslim, Saroja a/p Maniam, 59, tidak bekerja dan menjalani hidup susah sejak kematian suaminya tujuh tahun lalu.

Katanya, dia bukan sahaja tidak mempunyai tempat tinggal, malah perlu meneruskan kelangsungan hidup dengan bergantung kepada ihsan orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar UTC Pudu Sentral.

“Saya ada di sini (UTC Pudu Sentral) hari-hari. Ada orang bagi makan. Rumahpun saya tiada.

“Pemberian makanan ini bagus, saya boleh dapat makan percuma,” katanya.

AGIH RM23.06 JUTA

MAIWP mengagihkan sebanyak RM23.06 juta peruntukan zakat menerusi Bantuan Rahmah Ramadan Baitulmal, MAIWP pada Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, sumbangan tersebut antaranya melibatkan bantuan Aidilfitri kepada golongan asnaf secara keseluruhan berjumlah RM12.68 juta.

Selain itu menurutnya, peruntukan bantuan Ihya’ Ramadan sebanyak RM8.65 juta turut diberikan kepada masjid serta surau manakala sumbangan kepada Tabung Kebajikan dan pesakit yang terlantar di hospital berjumlah RM1.35 juta.

Katanya, aktiviti lain yang turut digerakkan oleh MAIWP sepanjang Ramadan adalah pengagihan makanan berbungkus serta minuman di 10 lokasi di Pusat Agihan Zakat (Paza) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,450 bungkus setiap hari melibatkan peruntukan sebanyak RM378,450.

“Tidak terhenti di situ, MAIWP turut melaksanakan bantuan Galakan Hafaz al-Quran kepada kumpulan hufaz. Bantuan ini melibatkan 269 penerima dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM745,500.

“Ini bermakna sempena kehadiran Ramadan kali ini, jumlah keseluruhan zakat yang diagihkan oleh MAIWP adalah sebanyak RM23.06 juta menerusi Bantuan Rahmah Ramadan Baitulmal MAIWP.

Jumlah agihan ini berdasarkan komitmen berterusan pembayar zakat PPZ-MAIWP membuat pembayaran zakat pendapatan, perniagaan dan jenis zakat lain,” katanya dalam pelancaran Agihan Makanan Berbuka Puasa Kepada Asnaf 2019, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Syed Hussien berkata, pengagihan dana zakat yang besar dari MAIWP itu dilihat berupaya membantu kerajaan membasmi masalah kemiskinan tegar dan meringankan beban masyarakat terutama di sekitar Wilayah Persekutuan.

Mengulas berhubung terdapat orang bukan Islam mengambil bantuan makanan daripada agihan makanan berbuka puasa kepada asnaf yang dilaksanakan, beliau berkata, Islam itu indah dan memberi rahmat kepada seluruh alam.

Katanya, perkara itu tidak menjadi satu kesalahan sebaliknya menunjukkan Islam itu meraikan kumpulan masyarakat lain biarpun berbeza agama terutama membantu golongan yang tidak berkemampuan.

“Kita mahu galakkan masyarakat mewujudkan suasana harmoni antara kaum. Nilai daripada pelaksanaan program bantuan memberi makanan ini adalah sangat besar impaknya.

“Malah, ini juga merupakan antara strategi dakwah kita kepada orang bukan Islam kerana agama Islam itu cantik dan memberi rahmat kepada seluruh alam,” katanya.