Beliau ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Bicara Dai’ pada Bengkel Belia: Generasi Pelapis Pendakwah anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) baru-baru ini berkata, justeru dakwah perlu dilakukan dengan penuh hikmah di samping bijaksana dalam menarik minat golongan bukan Muslim mengenali Islam.

Ia sebagaimana firman Allah maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (an-Nahl: 165)

Mohd. Fadli yang kini berjaya mengIslamkan seramai 865 saudara baharu rata-ratanya dari pedalaman Sabah turut menekankan peserta kaedah berdakwah sebagaimana dilaksana dan diajarkan oleh Rasulullah.

Ia sebagaimana hadis yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah tali silaturahim, solatlah di malam hari ketika manusia terlelap tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” - Riwayah Ibnu Majah

“Setiap kali kita menziarahi golongan sasar dari satu kampung ke satu kampung, kita harus yakin ia bukan usaha kita, malah yang menyampaikan kita ke situ juga bukanlah kita, tetapi Allah SWT,” katanya yang bergiat aktif berdakwah sejak 2011.

Beliau berkata, walaupun belum Islam, pendakwah perlu menjaga adab dan tingkah laku kerana mereka sering melihat dan memerhatikan segala tindak tanduk pendakwah.

“Kita juga haruslah menggunakan kalimah ‘belum Islam’ kerana di situ ada satu pengharapan dan doa bahawa suatu hari mereka akan memeluk Islam dan akan mendapat hidayah,” ujarnya.

BAJAI IMAN

Beliau turut mengajak pendakwah agar menghidupkan budaya Islam dengan ukhuwah, jihad, ibadah, akidah, tarbiah, amal makruf nahi mungkar, iktisad, daulah dan alam sejagat.

“Menanam iman tidak semudah menanam pokok, sedangkan menanam pokok perlu dijaga, dibaja, dipagar, diracun musuh-musuhnya, inikan pula iman.

“Jika memandang pada kesusahan tanpa memulakan usaha pasti tidak akan berjaya seperti mana Rasulullah membaiki masyarakat pada zaman baginda dengan iman hingga melahirkan sahabat agung akhlaknya.

“Sesiapa sahaja yang telah memeluk Islam, segeralah didik mereka menyembah Allah dengan menunaikan solat lima waktu sehari semalam kerana solat merupakan ibu segala ibadah,” ujarnya.

Mohd. Fadli berkata, dalam berdakwah perlu memperkenalkan mereka dengan bersungguh-sungguh, menyakini, memahami, mencintai, merindui, takut iaitu tunduk dan patuh kepada perintah Allah serta memperkenalkan siapakah Rasulullah.

“Hati pendakwah hendaklah benar-benar jinak kepada Allah kerana satu daripada tujuan utama berdakwah ialah hendak membawa manusia kepada-Nya. Kalau hati pendakwah bersifat liar atau tawar kepada Allah, maka dakwahnya juga diterima dalam keadaan hati liar dan tawar.

“Bukan kuantiti individu yang diIslamkan menjadi ukuran, tetapi lebih utama adalah mendidik mereka menjadi Muslim berkualiti. Kejayaan dalam mendidik manusia ialah bila mana seseorang itu mampu memperkenalkan Allah kepada manusia sehingga takut dan cinta kepada-Nya,” jelasnya.

Sejak berdakwah, Mohd. Fadli kini telah mendirikan enam masjid bagi meneruskan aktiviti pendidikan dan pembangunan Islam setelah penduduk Muslim bertambah di sesuatu kawasan tersebut.

Selain Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung Malaysia, beliau bersama kumpulannya turut berdakwah di Osaka, Kyoto, Kobe, Hiroshima serta Tokyo, Jepun dan kini beliau berhasrat untuk berdakwah di New Zealand.

PENGLIBATAN BELIA

Mengulas berhubung penganjuran program, pengarahnya, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan berkata, bengkel bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia tentang peranan mereka sebagai pendakwah dalam masyarakat.

Beliau berkata, peranan golongan belia masa kini tidak harus terbatas dengan hanya menuntut ilmu di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi, sebaliknya perlu dimanfaatkan kepada masyarakat umum.

Justeru, bengkel yang disertai seramai 50 peserta terdiri daripada pelajar Pusat Tahfiz Darus Syabab, Kepong dan pelajar saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan pelajar Kompleks Darul Hidayah sekitar ibu kota itu bertujuan melahirkan lebih ramai pendakwah dalam kalangan belia.

“Bengkel ini diadakan sebagai pembelajaran tambahan kepada peserta dalam pengenalan dunia dakwah di samping memberi kefahaman keperluan berdakwah.

“Secara tidak langsung memperkenalkan kepada peserta tentang pengertian dakwah dan kaedah dakwah Rasulullah selain etika atau perkara utama bagi seorang pendakwah,” katanya.

Bengkel turut mengadakan sesi dialog antara peserta dan penceramah bagi membincangkan persoalan berhubung kaedah penyampaian dan cabaran ketika berdakwah.

Peserta juga diberi peluang menyertai program susulan dalam Misi as-Syahadah yang dijadualkan pada bulan ini.