Persoalan seringkali ditanya ialah, kenapa waris lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding waris wanita. Secara kasarnya seolah-olah undang-undang faraid ini menafikan peranan dan mendiskriminasi terhadap wanita.

Undang-undang faraid ditohmah sebagai bersifat anti wanita. Maka timbullah desakan untuk mengkaji semula undang-undang faraid ini agar ‘memberi keadilan’ kepada golongan wanita.

Sebenarnya, undang-undang Islam memberi keadilan kepada semua manusia tanpa membezakan gender, warna kulit, bangsa dan status. Konsep keadilan dalam Islam mestilah dilihat daripada sudut kemampuan undang-undang Islam itu menegakkan keadilan yang dapat dinikmati oleh masyarakat ramai berbanding keadilan diberikan daripada kaca mata individu tertentu.

Oleh itu keadilan dalam pengagihan harta faraid tidak semestinya pembahagian dibuat secara kadar sama rata. Inilah pendekatan diajar menerusi al-Quran dalam pembahagian faraid.

Pembahagian harta pusaka Islam telah ditentukan dalam al-Quran dan ketentuan tersebut adalah bersifat definitif (tetap) yang tidak boleh ditafsirkan lagi.

Pembahagian yang jelas tersebut tidak membuka ruang untuk ijtihad melainkan tafsiran secara literal ataupun harfiah. Qiyas atau ijtihad tidak berperanan sebagai sumber bagi menentukan pembahagian undang-undang pusaka Islam.

HIKMAH ‘KETIDAKADILAN’

Hikmah di sebalik falsafah pembahagian ini adalah untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumahtangga, masyarakat serta agama. Seorang lelaki umpamanya dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, bagaimanapun wanita tidak.

Seorang perempuan pula sudah terjamin keperluannya kerana perempuan tersebut berada bawah tanggungjawab suami, abang, ayah atau saudara lelakinya. Seorang perempuan juga tidak berkewajipan memberi nafkah kepada sesiapapun walaupun suaminya tidak berkemampuan membayar nafkah. Tanggungjawab ini sebenarnya akan berpindah kepada ahli keluarga suami.

Tiga perkara yang wajib bagi lelaki Muslim menyediakan kepada keluarganya ialah:

1. Makanan

2. Tempat tinggal

3. Pakaian.

Ketiga-tiga perkara ini perlu disediakan oleh lelaki kepada isteri dan anak-anak serta orang bawah tanggungannya. Kewajipan ini tidak terhenti walaupun isteri itu bekerja mahupun gaji isteri lebih besar daripada suami.

Pada zaman sebelum Islam wanita langsung tidak mempunyai hak hartanya, malah mereka juga dianggap sebagai harta yang boleh dipusakai oleh ahli keluarga si mati. Ramai wanita menjadi mangsa dan kehilangan hak serta tempat bergantung apabila suami atau bapa mereka meninggal dunia.

Pembahagian yang lebih kepada lelaki adalah kerana lelaki bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan dan kebajikan wanita. Inilah sebabnya pembahagian harta lebih disyariatkan kepada kaum lelaki.

Konsep Islam adalah mudah iaitu di mana ada hak maka di situ ada tanggungjawab. Ini bermakna hak yang lebih besar akan membawa kesan kepada tanggungjawab lebih besar. Oleh itu, tidak hairanlah kenapa Islam memperuntukkan hak lelaki adalah lebih.

Adalah salah jika seorang lelaki itu membelanjakan segala hak pusakanya untuk dirinya seorang sahaja. Hak ini sebenarnya mestilah dikongsi bersama dengan orang lain seperti adik beradik perempuan, anak perempuan dan mereka bawah tanggungannya.

BERSAMA TANGGUNGJAWAB

Dengan cara ini barulah keindahan undang-undang pusaka Islam ini dapat dimanifestasikan dan dihargai oleh masyarakat Islam serta bukan Islam.

Moga-moga tidak kedengaran lagi kata-kata sinis yang mengatakan Islam mendiskriminasi wanita. Tohmahan ini sebenarnya datang daripada orang jahil dan tidak mahu mencari kebenaran melainkan difikirkan benar sahaja tanpa mengambil kira faktor lain yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Bagi lelaki pula, yang menjadi pemimpin kepada keluarga hendaklah menjadi teladan baik kepada masyarakat umum dalam pembahagian pusaka. Di akhirat kelak, mereka akan ditanya tentang tanggungjawab ini iaitu ke manakah harta yang diperuntukkan kepadanya dilupuskan.

Menurut statistik pula, kebanyakan ketua keluarga membelanjakan lebih separuh daripada pendapatannya untuk kegunaan keluarganya. Oleh itu, walaupun lelaki mendapat agihan dua kali ganda daripada perempuan, sebenarnya lelaki ini hanya menikmati separuh atau kurang daripada agihannya.

Ini bermakna pembahagian adalah sama rata dan waris-waris lelaki ini juga mendapat manfaat secara tidak langsung.

Kita harus memahami keindahan hukum-hakam Islam yang telah digarap oleh Allah dan menjamin keadilan kepada semua. Janganlah kita hanya mengkritik sesuatu perkara tanpa memahami hakikat sebenar, apatah lagi apabila membabitkan hal ehwal agama.

Sesuatu hukum ditetapkan oleh hukum syarak sudah tentu mempunyai hikmah sendiri sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

Kalau kita perhatikan dengan teliti, hukum faraid ini bukanlah bersifat pro lelaki sahaja. Ini terbukti kerana ada waris lelaki juga boleh terhalang mendapat hak pewarisan kerana wujudnya waris kerabat lebih dekat.

Umpamanya anak lelaki menghalang saudara lelaki dan perempuan daripada pewarisan. Jika undang-undang faraid adalah pro lelaki tentulah hanya saudara perempuan sahaja yang akan terhalang.

Pandangan yang lebih cenderung kepada perspektif Barat sebenarnya gagal menghayati undang-undang faraid ini di samping bersifat terlalu individualistik. Islam lebih mementingkan maslahah ummah berbanding kepentingan individu. Dengan cara ini masyarakat Islam akan lebih dinamik dan membangun secara saksama.