Antaranya sebagaimana diusahakan oleh Pondok Warga Emas Unais, perumahan khas untuk warga emas yang terletak di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor. Ia menawarkan peluang wakaf bagi pembinaan surau di premis berkenaan.

Menurut pengasas pondok itu, Dr. Isa Hamzah, hanya serendah RM250 bagi setiap kaki persegi, orang ramai boleh berwakaf dan nilai itu merangkumi kemudahan serta peralatan asas yang diperlukan untuk pembinaan surau.

“Keluasan surau tersebut adalah 3,520 kaki persegi menjadikan anggaran nilai keseluruhan bagi pembinaan surau itu antara RM900,000 hingga RM 1 juta,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu ketika ditemui, baru-baru ini.

Pondok Warga Emas Unais yang berkeluasan 0.72 hektar menawarkan pengajian al-Quran dan agama kepada warga emas yang ingin mendalami ilmu pengetahuan tersebut.

Premis yang kini dalam proses pembinaan itu mengandungi unit kediaman, surau, kelas pengajian, kafeteria, bilik serba guna, kolam ikan, pengurusan pondok, pengawal dan taman.

Bagi unit kediaman adalah berkeluasan antara 300 hingga 310 kaki persegi dengan kos pembinaan RM45,000 seunit. Ia dilengkapi pelbagai kemudahan iaitu katil, satu bilik air, ruang dapur, almari, pendingin hawa dan koridor.

Dalam perancangan asal, Isa memberitahu, kos pembinaan surau berkenaan mampu ditanggung menerusi jualan unit kediaman tersebut.

Bagaimanapun katanya, disebabkan terdapat keperluan semasa untuk menambah jumlah kelas pengajian agama dan dewan serba guna agar sesi pembelajaran menjadi lebih selesa, kos itu tidak mampu menampung pembinaan surau.

“Sebelum ini saya fikir dapat ambil (dana) daripada jualan unit kediaman itu untuk bina surau dan lain-lain kemudahan, tetapi apabila saya buat penambahan tersebut, timbul kerisauan.

“Tambahan pula dengan situasi ekonomi semasa, saya bimbang jika ia menyebabkan proses pembinaan menjadi perlahan dan lebih teruk, ia terpaksa dihentikan,” katanya.

Dalam masa sama, Isa memaklumkan bahawa Pondok Warga Emas Unais turut menawarkan peluang berwakaf untuk 10 unit kediaman yang dikhaskan bagi golongan asnaf.