Tidak hanya drama dan filem, gegaran muzik k-pop pula menggegarkan peminat seluruh pelosok tanah air sehingga gerak tarinya menjadi ikutan kanak-kanak yang masih di bangku sekolah, malah siulan anak-anak muda sehinggalah dewasa.

Menurut Setiausaha Agong Pusat ASEAN-Korea, TYT Lee Hyuk, walaupun Korea tidak mempunyai ramai jumlah penduduk beragama Islam, namun republik itu menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung-pengunjung Muslim dari seluruh dunia, termasuklah dari Malaysia.

Pada 2017, dilaporkan hampir sejuta pengunjung Muslim melancong ke Korea. Daripada lebih 300,000 keseluruhan pengunjung Malaysia, 60 peratus daripadanya adalah Muslim.

Walaupun industri perfileman dan muzik Korea dilihat seolah-olah berjaya menjajah pemikiran generasi muda negara ini, namun tidak keterlaluan untuk dikatakan perkara ini turut memberi bermanfaat kepada negara.

Susulan daripada kunjungan demi kunjungan pelancong Muslim ke Korea termasuk Malaysia, senario ini telah mencetuskan sebuah industri baharu yang diceburi oleh kedua-dua negara iaitu pertumbuhan industri halal.

Aktiviti berkaitan dengannya juga dilihat mula berkembang rancak dengan sokongan pelbagai pihak. Kerajaan Korea contohnya, telah memberikan insentif untuk menyemarak pertumbuhan restoran mesra Muslim. Hasilnya, kini terdapat lebih 250 restoran berdaftar yang menyediakan produk halal di seluruh Korea.

POTENSI DI KOREA

Potensi industri halal bukan sahaja dirasai oleh pemain industri sektor makanan dan minuman di Korea, namun turut melibatkan kerjasama penyelidikan halal daripada beberapa institusi pengajian tinggi di negara itu.

Selaras dengan reputasi dan pengiktirafan Malaysia sebagai pelopor hab halal global, pelbagai bentuk kerjasama telah dimeterai untuk manfaat kedua belah pihak.

Menjadi misi para penyelidik di Pusat Penyelidikan Halal, Universiti Malaya (UMHRC) untuk menjalin kerjasama penyelidikan dengan pelbagai pihak berkepentingan di seluruh dunia, termasuklah di Korea.

Pusat penyelidikan yang ditubuhkan pada 2014 ini turut menerima kerjasama kepakaran daripada penyelidik Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) dan merupakan satu daripada institusi pengasas Konsortium Institut Halal Malaysia yang ditubuhkan pada 2017.

Tiga lagi institusi yang terlibat adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, dan Universiti Putra Malaysia. UMHRC juga merupakan badan latihan halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan menggunakan modul latihan yang disediakan oleh Majlis Profesional Halal.

Wakil dari UMHRC telah dijemput oleh beberapa organisasi di Korea dalam menjalinkan kerjasama bidang industri halal. Organisasi yang terlibat termasuklah International Halal Certification (IHC) Korea, yang beribu pejabat di Seoul.

Jemputan IHC yang diterima baru-baru ini adalah di bawah kapasiti tenaga pakar dalam berkongsi pengalaman bagi menjayakan Seminar Kesedaran Halal yang diadakan buat julung kalinya.

Pengarah UMHRC, Dr. Zalina Zakaria dan Felo Penyelidik UMHRC, Dr. Saa’dan Man, dijemput sebagai panel bagi berkongsi pengalaman dan ilmu bersama peserta seminar.

Antara perkongsian dibentangkan adalah berhubung kepentingan pemahaman konsep halal daripada sudut keperluan syariah dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap pemain industri iaitu daripada pengeluar hinggalah kepada agensi pemantauan dan akhirnya kepada pengguna.

JALIN KERJASAMA

Selain organisasi berkaitan pensijilan dan industri halal, institusi pengajian tinggi Korea juga menunjukkan minat untuk menjalankan kerjasama strategik bersama UMHRC. Antaranya, Universiti Chosun, yang terletak di daerah Gwangju di bahagian Barat Daya Korea, telah memeterai persefahaman bagi program pertukaran pelajar dan pembelajaran berkaitan kursus halal.

Bandarnya yang terletak hampir 300 kilometer dari Selatan Seoul ini merupakan bandar kelima terbesar di Korea. UMHRC turut mengambil peluang lawatan ke Gwangju untuk menyertai persidangan tahunan anjuran Korean Association of Islamic Studies (KAIS) 2018, yang kebetulan diadakan di Universiti Chosun pada edisi kali ini.

Menariknya, peserta persidangan adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang pengajian Islam dan fasih berbahasa Arab, biarpun bukan beragama Islam.

Selain itu, institusi pengajian tinggi Korea, Busan University of Foreign Affairs, melalui Institut Pengajian Mediterraneannya pula berminat dengan proses persijilan halal. Bandar Busan yang terletak di Tenggara Korea merupakan bandar kedua terbesar selepas Seoul.

Pemeteraian persefahaman antara kedua-dua universiti ini bakal menyaksikan lebih banyak pertukaran bermanfaat ke arah menambah baik industri halal sedunia untuk jangka masa panjang.

PELUANG MASA DEPAN

Kerjasama yang sedang, bakal dan dijalin dengan pelbagai pihak di Korea telah memberikan satu ruang yang unik kepada penyelidik Malaysia bagi memahami kehidupan masyarakat Korea.

Peluang keemasan ini tidak seharusnya dilepaskan untuk kita fahami keinginan mereka menyantuni keperluan golongan Muslim menerusi kepatuhan syariah berkaitan penyediaan dan pengurusan industri pemakanan.

Terlalu banyak manfaat sama ada dalam aspek keuntungan pelaburan perniagaan mahu pun pembinaan modal insan boleh dituai hasil daripada kolaborasi yang dirancang.

Pernyataan minat daripada pelbagai agensi di Korea ini adalah tidak memeranjatkan setelah mereka diberi pendedahan mengenai definisi industri halal, kerana pelbagai aspek berkaitan seperti keselamatan, kebersihan, dan kualiti dalam segenap aspek pengurusan industri juga merupakan parameter dititik beratkan dalam budaya di negara itu sendiri.

Ramai pengkaji berpendapat perubahan drastik yang dilalui Korea setelah tamatnya Dinasti Joseon pada penghujung kurun ke-19 berkait rapat dengan disiplin rakyatnya yang mengagungkan integriti, disiplin, dan kualiti dalam setiap aspek kehidupan.

Pendedahan konsep halal yang Islamik dan inklusif kepada masyarakat Korea akan hanya membuka lebih banyak peluang interaksi antara mereka dengan negara-negara lain yang majoriti rakyatnya beragama Islam.