Pengerusinya, Siti Najeeha Zaini berkata, menerusi kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan syarikat pembungkusan tempatan, Food for Hunger (F4H) akan mengedarkan pek korban mudah dibawa seberat 200 gram kepada kumpulan masyarakat Islam yang memerlukan.

Katanya, selain memberi keutamaan pemberian pek korban tersebut kepada umat Islam di negara ini, bantuan korban itu juga akan disalurkan kepada kumpulan masyarakat Islam di negara bergolak seperti Mesir, Syria, Palestin, Yemen serta Afrika Tengah.

“Alhamdulillah, inovasi penghasilan pek daging korban F4H ini telah mendapat perhatian serta sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Pek korban ini bukan sahaja mudah dibawa dan menggunakan teknologi pembungkusan retort dari Jerman, malah ia juga mampu bertahan untuk tempoh waktu yang lama iaitu sehingga dua tahun,” katanya dalam sidang akhbar pengenalan Pek Daging Qurban Ready To Eat, baru-baru ini.

Kumpulan nasyid terkenal negara, Raihan dipilih menjadi ikon penganjuran program Qurban Care For Ummah tersebut.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran program tersebut, Siti Najeeha berkata, pengedaran Pek Daging Qurban Ready To Eat dijangka dapat diedarkan kepada orang ramai September ini.

Jelasnya, proses pengedaran mengambil sedikit masa kerana semua daging korban akan dikumpulkan terlebih dahulu sebelum dihantar untuk pembungkusan.

TAHAN LAMA

Menurutnya, F4H akan mengumpul semua daging korban yang disumbangkan oleh pihak masjid di negara ini kepada mereka sebelum menghantar daging yang telah siap dilapah itu ke sebuah syarikat pengilangan tempatan untuk dimasak dan dipaketkan menggunakan teknologi dari Jerman.

“Pek korban baharu ini bukan sahaja menggantikan sistem pembungkusan dalam tin yang dilaksanakan sebelum ini, apa yang lebih menarik adalah tidak menggunakan bahan pengawet, malah teknologi retort yang digunakan membunuh kuman yang membuatkan makanan menjadi cepat basi,” katanya.

Tambahnya, bahagian tulang dan organ lain haiwan korban akan dimasak oleh sukarelawan YDKMM seterusnya diagihkan ke beberapa kawasan tumpuan seperti di stesen minyak, plaza tol, pasar raya, rumah orang tua serta anak yatim di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya lagi, F4H bakal mengadakan sembelihan korban di Bangui, Afrika Tengah; Aden, Yemen serta Kaherah, Mesir bagi membolehkan masyarakat setempat yang berhadapan situasi bergolak turut menikmati daging segar.

Menurutnya, lokasi tersebut merupakan destinasi bagi program susulan ‘follow up’ YDKMM yang telah menghulurkan bantuan secara langsung sebelum ini.

“Kita sasarkan sebanyak 115,500 Pek Daging Qurban Ready To Eat diedarkan di dalam dan luar negara dengan melibatkan kira-kira 150 lembu korban.

“Satu bahagian korban boleh menghasilkan 110 pek kari daging dan setiap pek adalah seberat 200 gram. Pek kari daging korban ini akan turut diedarkan ke kawasan yang ditimpa bencana (fast respond) dan ke kawasan pedalaman yang sukar dimasuki,” katanya.

Siti Najeeha berkata, orang ramai yang ingin menjayakan program tersebut namun bukan menerusi pemberian daging korban, mereka boleh menyalurkan bantuan menerusi sumbangan wang tunai.

Katanya, sumbangan wang tunai daripada orang ramai itu akan digunakan oleh F4H untuk kos pembungkusan serta pengedaran pek daging korban tersebut.