Kini bahasa Arab mula diminati ramai tanpa mengira jantina, umur, bangsa dan agama.

Sehubungan itu, satu pasukan yang terdiri daripada seorang konsultan dan dibantu oleh 13 fasilitator bahasa Arab ditubuhkan. Ia bertujuan membantu pelajar dan guru-guru bahasa Arab terutama di sekolah rendah serta menengah seluruh negara selain negara jiran yang memerlukan menerusi bengkel bahasa Arab.

Setakat ini, lebih 250 sekolah telah menganjurkan bengkel perkongsian pintar bahasa Arab yang membabitkan seramai 44,000 peserta.

Apa yang menarik, perkhidmatan konsultasi dan bimbingan selama empat jam ini adalah percuma. Pihak sekolah juga tidak perlu menanggung kos perjalanan dan tempat tinggal konsultan sebaliknya semua kos tersebut ditanggung oleh pihak konsultan sendiri.

Untuk memastikan keberkesanan bengkel ini, pihak konsultan turut menyediakan pelbagai modul bahasa Arab yang dipersembahkan dengan menarik. Semua modul tersebut adalah berwarna-warni dan turut dihiasi dengan pelbagai jadual, grafik, ilustrasi dan gambar bersesuaian untuk membantu pelajar.

Guru-guru yang menghadiri bengkel ini juga akan memperoleh nilai kredit empat jam Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) bagi kategori bimbingan dan mentoring. Untuk itu, mereka hanya dikehendaki melakukan imbasan kod QR melalui telefon pintar semasa bengkel berlangsung.

Adalah diharapkan agar murid dan guru-guru sekolah dapat mengambil peluang keemasan daripada perkhidmatan yang disediakan ini.