Ini kerana peredaran zaman menyaksikan, manusia tidak lagi perlu berjalan kaki meredah panas matahari atau hujan, sebaliknya pelbagai kemudahan moden tersedia, malah penuh dengan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan bagi memudahkan urusan bermusafir.

Namun, firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa sakit atau bermusafir, hendaklah dia menggantikan pada hari yang lain.” (al-Baqarah: 185) Justeru, manakah lebih afdal sama ada berbuka atau terus berpuasa?

ROZAIMI RAMLEE
ROZAIMI RAMLEE 

Mengulas perkara itu, Pensyarah Hadis Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Rozaimi Ramle menggariskan beberapa syarat bagi menentukan sama ada seseorang itu afdal berbuka atau berpuasa.

Beliau ketika membentangkan kertas kerja dalam Seminar Fiqh Musafir anjuran Al-Kahfi Center (AKC) di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, terdapat tiga keadaan boleh dijadikan garis panduan iaitu:

1- Jika puasa itu memberatkan orang bermusafir atau menghalangnya daripada membuat kebaikan yang lain, maka berbuka lebih afdal.

Ini berdasarkan hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a berkata: “Rasulullah bermusafir, lalu baginda melihat sekelompok manusia dan seorang lelaki berteduh pada mereka. Baginda bertanya: Apa ini? Mereka menjawab: Lelaki ini berpuasa. Baginda berkata: Tiada kebaikan berpuasa ketika musafir.” - Riwayat Sahih Bukhari

2- Jika puasa itu tidak membebankan dan tidak menghalang daripada melakukan kebaikan, maka puasa lebih afdal

Firman Allah maksudnya: “Jika kalian berpuasa, maka itu lebih elok untuk kalian, jika kalian mengetahui.” (al-Baqarah: 184)

Manakala Rasulullah bersabda maksudnya: “Kami keluar bersama Nabi dalam sebahagian musafirnya ketika cuaca panas. Sehinggakan seseorang akan meletakkan tangannya atas kepalanya kerana sangat kepanasan. Tidak ada dalam kalangan kami yang berpuasa melainkan Nabi dan Ibn Rawahah.” - Sahih Bukhari

3- Jika berpuasa memudaratkan diri maka wajib berbuka dan haram berpuasa

Ini sejajar dengan hadis diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah, bahawa Rasulullah keluar pada tahun Fathul Makkah (pembukaan Mekah) dalam bulan Ramadan ke Mekah. Baginda berpuasa sehingga tiba di Kura’ al- Ghamim, dan orang ramai pun berpuasa. Kemudian baginda meminta secawan air, lalu baginda mengangkatnya sehingga orang ramai dapat melihat, kemudian baginda meminum air itu. Lalu selepas itu baginda ditanya: Sesungguhnya sebahagian orang masih berpuasa. Baginda menjawab: Mereka melakukan maksiat. Mereka melakukan maksiat.” - Riwayat Muslim