Jika direnungkan, adakah minyak dan air boleh bercampur? Begitu juga hakikatnya amalan baik dan jahat untuk diletakkan dalam satu bakul. Walaupun bersifat cecair, namun kedua-duanya memiliki kandungan bertentangan antara satu sama lain.

Hal ini sama dengan kata-kata kesat atau maki hamun yang sesekali tidak boleh selari dengan niat baik. Pasti wujud suatu kejanggalan bila menutur kata-kata buruk walaupun berniat baik terhadap seseorang.

Ini selari dengan pendirian Islam. Tidak ada satu pun ayat dalam al-Quran dan hadis yang membenarkan penuturan kata-kata buruk itu walau apa pun tujuannya.

Sebaliknya, Allah memperingatkan balasan menanti mereka yang berbuat demikian. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam.” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Perkara itu turut diakui pakar Dakwah Remaja dan Psikologi Islam, Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham yang menegaskan bahawa baik dan buruk tidak boleh bersatu sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Dalam jasad manusia ada seketul daging. Kalau baik, maka baiklah seluruh jasad. Sekiranya ia rosak,maka seluruh jasad itu rosak.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam konteks ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya hati seseorang itu mulia dan baik, maka perangai serta tingkah laku atau pertuturannya juga adalah baik. Begitulah sebaliknya.

Justeru Dr. Fariza yang juga Felo Penyelidik Kanan di Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, setiap perbuatan pasti bermula dengan niat yang jika ia baik, maka akan keluar daripada mulut perkataan baik walaupun mungkin dengan suara agak lantang.

“Apa-apa pun bergantung pada niat, sama ada baik atau buruk. Jadi, kalau mulut dia jahat, suka mengadu domba dan memfitnah, susah hendak kata hatinya juga baik atau ini mungkin bermakna, dia berpura-pura baik.

“Lagipun, macam mana kita hendak kata hati dia baik, kerana kalau hati dia baik akan keluar tingkah laku atau kata-kata yang baik sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam masa sama Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Strategi UKM itu menyifatkan golongan yang masih berpegang kepada ungkapan berkenaan sebagai mereka yang gagal mendidik lidah agar selari dengan niat hatinya.

Katanya lagi, mungkin hatinya ingin bersedekah atau melakukan amal jariah tetapi disebabkan gagal mengawal mulutnya, maka dia bukan sahaja dipandang hina oleh manusia tetapi juga dilaknat Allah.

“Kalau dia hendak tegur sesuatu, dia tegur dengan cara yang baik dengan tidak mengaibkan orang lain atau tidak menjadi orang yang mengadu domba. Tetapi kalau niatnya tidak baik maka dia akan mengambil kesempatan.

“Islam mementingkan kata-kata yang baik dan atas sebab itu umat Islam disuruh berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata,” katanya.

Dosa tiada kesudahan

PENERIMAAN secara terbuka terhadap amalan negatif itu dalam gaya hidup masyarakat masa kini adalah berikutan penularan budaya Barat melalui media-media konvensional dan alam maya.

Apa tidaknya, boleh dikatakan lebih separuh paparan budaya dalam media berkenaan adalah berteraskan kefahaman masyarakat Barat.

Antaranya kata-kata kesat atau tidak sopan kerap muncul walaupun ia dilakukan dengan alasan atau hati yang baik, tetapi hakikatnya bertentangan dengan prinsip Islam.

“Contohnya video memaparkan sikap remaja Barat yang bersikap terbuka dan berani menegur ibu bapa mereka kerana hal tertentu, tetapi ia tidak disusuli dengan didikan bagaimana untuk tegur secara beradab,” kata Dr. Fariza.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa ada beranggapan bahawa kata-kata kesat lebih mudah didengari dan dihayati berbanding penggunaan perkataan atau bercakap dengan baik.

Tetapi, beliau sangsi dengan tanggapan itu kerana benarkah yang mendengarnya berasa senang hati atau sakit hati? Bagaimana pula jika kata-kata kesat tersebut dilanjutkan kepada orang lain?

“Kalau niat kita baik, apa sahaja terpacul dari mulut adalah baik, pemilihan perkataan yang baik walaupun mungkin cara bercakap itu secara berterus terang atau agak lantang suaranya,” katanya.

Malah tambahnya, Islam menggariskan prinsip tersendiri kaedah untuk menegur seseorang termasuk ibu bapa sendiri supaya kedua-dua pihak memperoleh natijah yang baik.

“Sebagai contoh, budaya Melayu memiliki pelbagai kata-kata indah dan pepatah Melayu berbentuk nasihat serta sindiran yang sedap didengar sehingga mampu menusuk dalam hati sesiapa mendengarnya,” katanya.

Apa perlu dilakukan

Sehubungan itu, Dr. Fariza menyarankan agar umat Islam menjauhkan diri daripada perbuatan buruk tersebut kerana ia bukan amalan yang digariskan dalam al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, ini bertepatan dengan nukilan tokoh ulama Islam, Imam al-Ghazali menerusi bukunya bertajuk Bimbingan Muslimin dalam bab Bencana Lisan yang membincangkan bahaya dicetuskan oleh kata-kata kepada kehidupan manusia di dunia juga akhirat.

“Imam al-Ghazali mengaitkan lisan itu dengan lidah manusia. Malah, lidah pada hari ini tidak hanya bermaksud di mulut, tetapi juga kepada platform media sosial melalui penggunaan gajet yang menggunakan anggota jari. Inilah lidah moden hari ini,” katanya.