Namun siapa sangka, menerusi kuasa tular, teknik pembuatan kuno itu berjaya menarik ramai pelajar dari serata dunia ke tempatnya di kaki Gunung Rif dalam wilayah Ourtzagh.

Ia adalah menerusi promosi mulut ke mulut selain menggunakan media sosial sehingga membolehkan bengkel kraftangan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sumano berjaya mencapai kejayaan mengagumkan.

“Bila saya mengetahui tentang bengkel tersebut dalam Instagram, saya terus mendaftar kerana teknik itu kini berdepan ancaman kepupusan.

“Mama Aicha sudah tua dan ilmunya mesti kita warisi,” kata Mirna Banieh, pengiat seni muda yang datang dari Tebing Barat di Ramallah.

Ditubuhkan pada tahun lalu, Sumano merupakan pertubuhan bagi mempromosikan kraftangan wanita Maghribi.

Tidak kekok tangan disalut tanah liat, Mirna bersama empat lagi pelajar duduk bersila atas karpet untuk mempelajari ilmu daripada pembuat tembikar berusia 82 tahun itu.

Matlamat mereka untuk belajar cara membentuk tanah liat menggunakan tangan kemudian dikeringkan bawah matahari sebelum dibakar dalam lubang dipenuhi kayu api.

Tembikar yang siap dibakar akan digilap menggunakan batu khas sebelum diukir dengan elemen alam semula jadi.

Secara umum, pembuat tembikar di Rif berasal dari suku Sless yang ada kaitan dengan keluarga Aicha Tabiz, namun kini mulai lenyap. Pada akhir 1990-an, suku Sless mempunyai seramai 90 ahli tetapi berkurangan hampir separuh pada hari ini.

“Golongan muda tidak mahu mengotorkan tangan mereka dengan tanah liat. Mereka bercita-cita untuk menjadi pegawai yang bergaji tetap,” kata Mama Aicha.

Ilmu nenek moyang itu, menurut sesetengah pakar, bermula pada Zaman Perak dan kini berdepan kepupusan sedikit demi sedikit berikutan penurunan jualan di pasaran.

“Ketika saya muda, semua orang guna periuk dan mangkuk diperbuat daripada tanah liat. Malah, ibu saya menjualnya di pasar, tetapi hari ini semua orang lebih gemar kepada plastik.

“Kami mahu membina sebuah muzium di kampung ini, tetapi pihak berkuasa tempatan tidak begitu berminat,” kata anak sulang Aicha, Mohamed Tabiz, 53.

DIANCAM KEPUPUSAN

Penyelidik, pengumpul dan peminat adalah golongan yang pernah memberi amaran sejak berdekad lalu tentang ancaman terhadap kemahiran kraftangan yang diwarisi dari generasi ke generasi itu.

Antaranya ialah Ahli Antropologi Jerman, Rudiger Vossen yang meneroka Maghribi pada 1980-an dan 90-an untuk mengkaji teknik dan reka bentuk kraftangan digunakan oleh setiap suku kaum.

Sukarelawan dari persatuan ‘Terre des Femmes’ (Wanita Bumi) antara yang pergi ke Rif selama bertahun-tahun untuk mengutip tembikar dan menjualnya kepada pelancong dari butik kecil milik mereka di Rabat.

Usaha yang sama turut dilakukan oleh Pengarah Artistik Dior Itali, Maria Grazia Chiuri. Beliau meletakkan tembikar buatan penduduk Rif dalam bilik pameran fesyen di Marrakesh.

Sambil mata sentiasa berkelip, Mama Aicha dengan sabar membimbing peserta bengkel itu yang terletak sebelahan laman rumahnya.

Helaian kertas tertulis beberapa barisan ayat bahasa Inggeris yang diterjemahkan dalam dialek tempatan ditampal pada dinding bagi kelancaran komunikasi antara Mama Aicha dengan anak muridnya.

Ada juga pembuat tembikar itu menggunakan bahasa isyarat kerana majoriti mereka lebih mendedikasikan hidup di ladang ternakan dan membesarkan anak-anak.

Houda Oumal, 27, dari suku M’tioua antara yang ingin mengikut jejak langkah ibunya dengan tinggal bersama keluarganya di gunung.

Dia mula mengasah kemahiran membentuk tanah liat pada usia tujuh tahun, tetapi tidak tahu membaca atau menulis kerana perkampungan itu tidak mempunyai sekolah.

“Kemahiran kraftangan akan membolehkan seseorang menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Utuk itu, kita perlukan lebih ramai yang mahir bagi memastikan ia boleh memberi keuntungan,” katanya

Persatuan Sumano membuat pesanan produk tembikar untuk dijual di Sepanyol dan dengan kira-kira 20 kali ganda berbanding harga tempatan dalam laman web mereka. – AFP.