Hal ini kerana luahan perasaan dalam media sosial tidak lain hanya bersifat untuk melepaskan rasa amarah dan dendam terhadap pasangan dengan cara mudah.

Seeloknya sebarang pertikaian dan ketidakpuasan hati disuarakan secara terus kepada pasangan tanpa berselindung mahupun menggunakan media sosial untuk memerli atau menegur pasangan.

TELEFON pintar menjadi satu peranti yang mesti dimiliki oleh masyarakat masa kini.
TELEFON pintar menjadi satu peranti yang mesti dimiliki oleh masyarakat masa kini. 

“Sebenarnya sebahagian daripada hantaran umum adalah untuk melepaskan geram atau dendam dan bukanlah objektifnya untuk mencapai kedamaian.

“Bila rasa hormat dan sayang mulai pudar, maka keburukan pasangan bagi mereka hanya satu kelemahan tanpa memikirkan sikap itu boleh jadi cerminan diri mereka sendiri.

“Bila suami menyayangi isterinya, maka buruk isterinya adalah aib bagi dirinya dan sama juga apabila isteri hormat kepada suaminya, maruah suami adalah maruahnya juga. Masing-masing perlu memainkan peranan melahirkan rasa sayang dan hormat kepada pasangan,” jelasnya.

Tambahnya, perkongsian kepada umum mengenai pergolakan rumah tangga tidak mendatangkan manfaat melainkan hanya akan menggoyahkan institusi kekeluargaan yang telah mula goyang.

Ia juga akan mengheret orang lain untuk mencampuri urusan suami isteri dan membuatkan pasangan semakin keliru dan tertekan dengan komen serta desakan yang dibuat oleh pihak ketiga.

“Hal ini kerana kebiasaannya sebahagian daripada komen-komen umum tersebut adalah bersifat negatif dan menghasut. Keadaan ini mempercepatkan lagi keruntuhan ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar saling mencurigai.

“Percayalah bahawa kedamaian dan ketenangan suami isteri tidak akan dicapai melalui bisikan-bisikan pihak yang tidak berkenaan,” katanya.

Atas dasar itu, permasalahan antara suami dan isteri sepatutnya hanya diselesaikan berdua dan secara tertutup agar tidak berlaku fitnah dan perkara yang tidak diingini dalam rumah tangga.

KOMUNIKASI JALAN TERBAIK

Mencari persefahaman dalam alam perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah meskipun hubungan dibina adalah atas dasar cinta.

Setelah berkahwin barulah segala sisi dan sifat sebenar pasangan terserlah dan ketika itu juga hubungan serta kasih sayang antara pasangan akan teruji.

MASYARAKAT perlu menyaring terlebih dulu sesuatu berita yang diterima sebelum mempercayainya sebagai
MASYARAKAT perlu menyaring terlebih dulu sesuatu berita yang diterima sebelum mempercayainya. - GAMBAR HIASAN 

Oleh itu, semua pasangan pastinya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan konflik dan pergolakan dalam rumah tangga yang menguji kesabaran dan kewarasan akal.

Namun, setiap permasalahan pastinya ada jalan penyelesaian dan manusia sebagai khalifah di muka bumi seharusnya menggunakan akal dikurniakan Allah untuk mencari jalan keluar kepada permasalahan tersebut.

Menurut Dai Hamidah, penting bagi suami isteri untuk memahami tanggungjawab dan amanah Allah terhadap diri masing-masing.

“Sekiranya ada masalah keluarga seharusnya suami isteri harus bermuamalah atau berkomunikasi dengan baik sesama sendiri.

“Andai tidak mampu, carilah orang tengah (sesuai dan berpengalaman) yang mampu mendamaikan antara keduanya,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa suami isteri harus bersifat sabar daripada berkongsi sesuatu yang bukan pada jalannya kerana ada ganjaran bagi mereka yang sabar.

“Penting menjaga aib pasangan kerana apabila kamu berbaik, maka pada waktu itu baru kamu tersedar kesilapan membuka aib dahulu. 

“Perbaikilah niatmu dalam perkahwinan. Berkahwin untuk memenuhi fitrah dan sunah, mengumpul pahala ke akhirat dan membanggakan Rasulullah sebagai umatnya,” katanya.