Manusia hanya pandai mencemuh. Jarang sekali mereka ingin menyelami dan memahami masalah yang dialami golongan itu. Apatah lagi menghulurkan tangan membantu meringankan beban mereka.

Namun tidak dinafikan, ada yang prihatin terhadap gelandangan dan sentiasa membantu bagi memastikan keperluan serta kebajikan golongan itu dijaga lebih-lebih lagi berkaitan hal makanan juga pakaian.

Perkara itu dilakukan sebuah masjid di daerah Beyoglu, Istanbul, Turki. Masjid bersejarah terletak di tengah daerah itu memberi sinar baharu dalam hidup gelandangan di kawasan tersebut apabila mengambil inisiatif menyediakan makanan, pakaian dan tempat mandi untuk mereka.

Masjid Selime Hatun, masjid kecil yang dibina pada kurun ke-17 itu menjadi tempat perlindungan sementara untuk puluhan gelandangan di sekitar daerah tersebut.

Segalanya terjadi atas kerja keras Imam Masjid Selime Hatun, Osman Gokrem, 52, yang berkhidmat selama 17 tahun di masjid tersebut. Keprihatinan Osman secara tidak langsung membolehkan lebih ramai gelandangan mendapat keperluan asas mereka.

Menurut Osman, projek gelandangan itu dimulakan pada 2017 apabila mereka memasang alat pemanas air dalam masjid.

“Masjid Selime Hatun adalah satu-satunya masjid di Istanbul yang menyediakan kemudahan ini dan sekurang-kurangnya 50 gelandangan boleh mandi secara percuma setiap hari,” kata Osman kepada Agensi Anadolu (AA).

Beliau berkata, sewaktu diperkenalkan, tidak ramai menggunakan kemudahan tersebut. Ketika itu dilihat hanya tiga atau lima gelandangan datang untuk mandi. Tetapi lama-kelamaan sambutan amat menggalakkan.

“Kini sekurang-kurangnya 50 gelandangan datang untuk mandi di Masjid Selime Hatun. Kemudahan itu juga tidak hanya digunakan oleh gelandangan dari daerah Beyoglu, tetapi juga dari pelbagai kawasan hanya untuk mandi di masjid tersebut.

“Saya selalu tertanya-tanya di mana mereka ini boleh mandi, makan dan bagaimana mereka membeli barangan keperluan masing-masing kerana kehadiran mereka selalunya tidak disukai,” kata Osman yang sentiasa ingin membantu golongan memerlukan.

POTONG RAMBUT PERCUMA

Selalunya gelandangan dipandang selekeh dengan rambut panjang tidak terurus. Sebenarnya bukan mereka tidak mahu memotong rambut, tetapi kerana sering dihalau apabila pergi ke kedai gunting rambut.

“Gelandangan biasanya tidak dibenarkan masuk ke kedai menggunting rambut. Bukan kerana mereka tidak berduit, tetapi disebabkan badan mereka yang kotor dan berbau busuk.

“Masalahnya, hamam (tempat mandi awam) juga tidak membenarkan mereka masuk,” katanya.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, walaupun sibuk Osman mencari waktu untuk memberikan khidmat memotong rambut dan bercukur secara percuma bagi membuka peluang kepada gelandangan untuk kembali semula dalam masyarakat.

“Saya membantu kira-kira 15 hingga 20 gelandangan bercukur atau memotong rambut pada setiap Sabtu. Jika kita beranggapan apa yang dilakukan ini bukan urusan kita, maka kita akan kehilangan mereka,” katanya yang turut menekankan kepentingan membantu golongan memerlukan.

Selain itu, Osman secara peribadi cuba membantu mereka mendapatkan pekerjaan bersesuaian. Mana-mana gelandangan yang telah mendapat pekerjaan, beliau akan membenarkan mereka tidur di masjid selama lebih sebulan sehingga mampu menyewa bilik atau rumah.

Malah, Osman akan mendengar masalah gelandangan dan cuba membantu apa termampu termasuk menyatukan mereka dengan ahli keluarga.

Baginya, untuk membantu gelandangan seseorang itu perlu mempunyai sifat sabar, kasih sayang dan belas kasihan. Jika dilihat di sebalik sejarah kehidupan, banyak alasan mengapa seseorang itu menjadi gelandangan.

Namun, jangan sesekali memperlekehkan mereka kerana sesiapapun boleh bergelar gelandangan satu hari nanti.

“Orang kaya atau mempunyai kerjaya yang hebat juga boleh menjadi gelandangan. Mungkin hari ini anda mendapat gaji, tetapi tiada tahu apa yang bakal berlaku pada esok hari.

“Jadi, hulurkan tangan membantu golongan ini dan lakukannya dengan seikhlas hati. Datang sendiri ke tempat ini untuk melihat sendiri bagaimana keadaan gelandangan,” ujarnya.