Antaranya, kecurian tabung masjid semakin hari semakin membimbangkan. Bukan sahaja angkara individu luar, tetapi ia turut dikesan membabitkan ahli masjid sendiri yang hilang pertimbangan sehingga sanggup mengambil hak menyelewengkan kewangan masjid tanpa memikirkan kesan di sebalik perbuatan jenayah tersebut.

Bukan itu sahaja, lebih menyedihkan, masjid juga dijadikan tempat untuk menanam bibit-bibit kebencian antara satu golongan dengan yang lain dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat.

Sehinggakan masjid dijadikan gelanggang menabur fitnah dan perbalahan untuk mencaci serta mencerca pihak tidak sehaluan. Apatah lagi menggunakan masjid sebagai tempat menghina, mencemuh dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat yang tidak wajar diucapkan.

Ini ternyata jauh berbeza dengan ajaran syariat bahawa umat Islam perlu bertanggungjawab terhadap kesucian, kebersihan dan keselamatan masjid.

Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (at-Taubah: 108)

Semua pihak wajib sedar dan peka dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan setiap program yang dilakukan dalam masjid bersesuaian dengan adab dan akhlak Islam.

Kesucian masjid perlu dipelihara agar keharmonian dan ukhuwah Islamiah dapat dipupuk dalam kalangan jemaah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyifatkan bahawa masjid adalah tempat mulia dan paling disukai Allah.

Sabda Nabi SAW maksudnya: “Negara paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjid-Nya.” - Riwayat Muslim

Dalam perkembangan lain, mengadakan majlis pernikahan dalam masjid adalah harus. Namun, hukum hakam dan adab ketika berada di masjid hendaklah dijaga termasuklah tatacara berpakaian dengan menutup aurat, tidak mengambil gambar sesuka hati, tidak bercakap dan ketawa dengan suara tinggi.

Kemuliaan dan kesucian masjid hendaklah dipelihara sepanjang masa agar majlis dijalankan memperoleh keberkatan dan tidak mengundang kemurkaan Allah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak wajar untuk dijadikan tempat kencing dan melakukan kekotoran serta membuang sampah. Ia hanya untuk dijadikan tempat mengingati Allah, solat dan membaca al-Quran.” - Riwayat Muslim

BUKAN SEKADAR RUMAH IBADAH

Sejak zaman Rasulullah, masjid bukan sahaja terhad sebagai tempat beribadah semata-mata tetapi juga menjadi pusat kegiatan dakwah.

Justeru, peranan masjid pada hari ini hendaklah mencakupi pelbagai aspek seperti penganjuran program-program keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan dalam aspek kehidupan, pendidikan, kebajikan dan aktiviti penyatuan ummah.

Ini termasuklah menjalankan aktiviti-aktiviti pengajaran, dakwah, program untuk remaja, sambutan keagamaan serta galakkan kepada masyarakat untuk berjemaah menunaikan solat lima waktu sehari semalam.

Oleh itu, setiap Muslim dan masyarakat setempat hendaklah berperanan dalam memakmurkan masjid kerana memakmurkan rumah Allah adalah antara bukti mensyukuri nikmat Allah dan tanda wujudnya iman di hati.

Masjid juga perlu dijadikan tempat berkembangnya syiar Islam dalam sesebuah kariah, tempat membina kekuatan ilmu, iman dan akhlak, menjadi pusat perpaduan yang kukuh dan nadi kepada pembangunan ummah.

Masjid juga merupakan kawasan zon aman dan selamat. Dalam sejarah kegemilangan Islam, masjid adalah tempat bermulanya langkah pembangunan dan kegemilangan tamadun Islam. Masjid berupaya melahirkan ummah berkualiti dan mampu maju mendahului umat lain.

Masjid juga merupakan tempat Rasulullah SAW memberi jaminan kepada manusia untuk mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan, iaitu lelaki hatinya sentiasa terikat untuk hadir ke masjid bagi menjalankan aktiviti solat, beriktikaf, berzikir, mentadabur al-Quran, mendengar kuliah dalam majlis-majlis ilmu dan menyertai aktiviti lain.

Allah menjelaskan bahawa orang beriman adalah orang yang layak untuk memakmurkan masjid Allah. Membina dan memakmurkan masjid adalah antara cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Islam amat menitikberatkan pemeliharaan kesucian masjid sehingga Islam melarang orang berbau mulutnya memasuki masjid apabila makan makanan yang berbau seperti petai, bawang, durian dan rokok sehingga mendatangkan rasa kurang selesa dalam kalangan jemaah lain.

Selain itu, umat Islam juga perlu menjaga kebersihan tubuh badan dan pakaian, membersihkan mulut daripada bau yang tidak enak serta membersihkan tempat ibadah daripada sebarang kekotoran bagi menjaga kesucian rumah Allah tersebut.