Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak menyedari selain hubungan dengan Allah dan rasul, ciri-ciri perhubungan dengan manusia adalah elemen sosial yang penting dalam pelaksanaan rukun dan wajib haji.

Bermula dengan satu cita-cita, untuk mendapat keredaan dan rahmat Allah, kita semua berkumpul tanpa mengira pangkat, kedudukan atau warna kulit dengan memakai pakaian yang sama iaitu dua helai kain putih membalut tubuh ketika berihram.

MEMPEROLEH haji mabrur memerlukan pengorbanan yang besar. GAMBAR HIASAN
MEMPEROLEH haji mabrur memerlukan pengorbanan yang besar. GAMBAR HIASAN

Berkumpulnya berjuta-juta umat Islam atau bermuzakarah dari seluruh dunia dalam satu waktu di suatu tempat pula menunjukkan bagaimana haji adalah satu lambang perhubungan, penyatuan dan kekuatan umat Islam.

Sabar dan bertolak ansur adalah antara sifat yang sangat diperlukan ketika menunaikan ibadat itu terutama apabila jutaan manusia berebut-rebut melakukan ibadat di Masjidilharam dan di Masyair.

Dengan keadaan cuaca yang panas dan terpaksa tinggal dalam tempoh masa yang lama beramai-ramai dalam satu bilik juga boleh menimbulkan suasana tidak selesa dan ketegangan bagi hubungan jemaah.

Memelihara hubungan sesama rakan sebilik atau keluarga yang datang bersama adalah perkara paling utama perlu dilakukan sepanjang berada di tanah suci.

Jemaah juga digalakkan kurang berdebat atau bercakap perkara tidak perlu kerana dikhuatiri boleh melukakan perasaan orang lain, kata nista dan sifat-sifat yang mazmumah.

Sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan rafath dan fasik, nescaya keluar dosanya seperti baru dilahirkan oleh ibunya.” - Riwayat Bukhari

Rafath ialah nama bagi setiap perkara yang lagha (melalaikan), kata-kata keji, perlakuan maksiat dan juga gurau-senda yang melampau, sementara fasik pula bermaksud tidak patuh kepada Allah.

Maka jelaslah pertemuan kira-kira dua hingga tiga juta umat Islam setiap tahun di tanah suci adalah tidak lain untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meningkatkan hubungan manusia.

Sehubungan itu, dengan status haji mabrur yang diterima hasil daripada pelaksanaan rukun dan wajib haji, sudah tentu apa yang lebih penting bagaimana kita hendak mengekalkan status tersebut dari segi mengekalkan hubungan dengan Allah dan manusia selepas pulang ke tanah air.