Dalam Islam, penghinaan, kutukan dan cacian adalah sesuatu yang tidak dibenarkan. Perbuatan menghina, mengutuk dan mencaci tidak seharusnya dilakukan sama sekali.

Sebagai contoh, nas al-Quran tidak membenarkan menghina dan mencaci mana-mana sembahan selain Allah. Oleh itu, agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya tidak harus dihina dan dicaci walaupun umat Islam yakin hanya Islam sahaja agama yang benar.

Keyakinan bahawa Islam sahaja agama yang benar, namun Islam tidak membenarkan mana-mana agama dihina dan dicaci. Jika ditanya penganut agama Kristian, sudah tentu mereka juga yakin bahawa agama mereka adalah benar.

Namun, adakah keyakinan ini mengharuskan penganut agama Kristian untuk menghina agama lain? Sudah tentu tidak.

Begitulah dengan insan, kita bersetuju atau tidak bersetuju dengan seseorang, namun adakah wajar menghina orang lain. Sudah tentu tidak harus dihina mana-mana insan walaupun kita membenci insan tersebut.

Perbuatan menghina, mencaci dan mengutuk raja dan sultan adalah perbuatan yang tidak harus dilakukan sama sekali. Bahkan Islam membenarkan peruntukan undang-undang untuk menghukum insan yang menghina orang lain.

Ini termasuk dalam kategori hukuman ta’kzir yang diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Jika tiada tindakan tegas diambil terhadap insan yang menghina atau memfitnah orang lain, ia seolah-olah satu isyarat bahawa kita bebas menghina sesiapa sahaja.

Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita bebas menghina sesiapa sahaja, contohnya kita mempunyai kebebasan berpakaian. Apakah ini bermaksud bahawa tidak perlu lagi etika pakaian yang sopan atau bebas untuk berbogel di khalayak ramai?

Sudah tentu tidak begitu. Kebebasan berpakaian bermaksud kita bebas untuk memilih pakaian yang kita suka, namun hendaklah tidak melanggar batas kesopanan. Maka kebebasan bersuara hendaklah dengan adab, tiada fitnah dan cacian.

 

Kerja amal guna derma hartawan kosmetik

HARUSKAH wang derma yang diterima daripada pemilik barang kosmetik digunakan untuk kerja-kerja kebajikan?

Wang jualan kosmetik secara umumnya adalah wang yang halal. Ini kerana bahan kosmetik adalah bahan yang tidak haram dijual beli. Maka wang tersebut boleh digunakan untuk kerja-kerja kebajikan.

 

Institusi wakaf bukan asnaf

ADAKAH wang zakat boleh diberikan kepada badan wakaf?

Wang zakat hendaklah diagihkan kepada asnaf zakat. Dinyatakan dalam al-Quran terdapat lapan asnaf zakat. Walau bagaimanapun, ijtihad para ulama dan pihak pengurusan zakat dibenarkan untuk meluaskan kepada pelbagai bentuk selagi tidak terkeluar daripada lapan asnaf zakat tersebut.

Adapun wakaf, ia adalah sedekah sunat dengan benda yang kekal. Contohnya wakaf tanah, wakaf bangunan, wakaf al-Quran dan sebagainya. Wakaf mempunyai sedikit perbezaan dengan sedekah biasa.

Sedekah biasa adalah dengan pemberian harta yang tidak kekal lama. Contohnya sedekah duit yang habis digunakan oleh penerimanya. Manakala dalam wakaf, harta yang diwakafkan kekal lebih lama.

Oleh itu, duit yang perlu dibayar zakat hendaklah dibayar kepada asnaf zakat, bukan kepada wakaf.