Berdasarkan situasi ini, sudah tentu masyarakat Islam memerlukan kefahaman lebih mudah, menyeluruh dan saling kait-mengait antara satu isu dengan isu yang lain.

Hari ini, penerangan susun atur ilmu-ilmu Islam perlu diperluas dan diperkukuh kepada masyarakat agar mereka dapat memahami tuntutan Islam yang sebenar. Antaranya pemahaman tentang Fiqh al-Muwatonah (Fikah Kenegaraan)

Fiqh al-Muwatonah adalah antara disiplin ilmu yang berfungsi memberi panduan untuk menangani perubahan dan perbezaan realiti politik pada masa kini. Fikah ini amat jarang sekali dibincangkan secara terbuka sebelum ini, sedangkan kepentingannya seiring dengan Fiqh al-Daulah, Fiqh al-Taghyir dan Fiqh al-Waqi’ yang menjadi asas kepada pelaksanaan pentadbiran negara yang berpandukan kepada prinsip serta nilai politik Islam.

ROH KEBERSAMAAN

Kesemua fikah ini bertujuan membantu kita menyusun keutamaan bagi menggerakkan pentadbiran demi mencapai makna politik Islam yang sebenar. Fiqh al-Muwatonah amat perlu difahami kerana ia menjadi asas dalam menggerakkan kesemua prinsip lain yang menjurus ke arah memupuk kebersamaan dalam kepelbagaian antara kaum dan agama dalam sesebuah negara bersifat majmuk.

Prinsip utama pengurusan hal ehwal Islam telah diperkenal iaitu konsep Rahmatan Lil Alamin yang berwasilahkan Maqasid Syariah dan bermodelkan Fiqh Manhaj Malizi sebagai dasar serta hala tuju Malaysia Baharu.

Bagi memastikan pelaksanaan perubahan politik negara berjalan lancar dan terpadu, elemen kefahaman, kesedaran serta kebijaksanaan semua pihak terhadap konsep perubahan yang dibawa amat penting.

Gandingan mantap antara ulama dan pemerintah perlu seiring dalam mencerna dan mencerakin kesepaduan ilmu. Ulama sebagai tempat rujukan rakyat, sementara pemerintah pula mampu mengendalikan urusan rakyat secara cekap, amanah dan berhemah.

Bagi pihak rakyat, minda mereka mestilah betul-betul bersedia untuk menerima perubahan itu (conditioning the mind of the people). Kejayaan sebenar tidak akan dicapai jika pemerintah dan rakyat masih gagal memahami konsep perubahan (taghyir) itu sendiri.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memahami keempat-empat fikah di atas kerana landasan bagi menjiwai ‘roh kebersamaan dalam kepelbagaian’ itu terletak kepada sejauh mana kemampuan para pemimpin memahami warganegara (muwatonah), perubahan dan realiti (waqi’) yang merujuk kepada realiti perubahan zaman, di samping realiti tempatan (Malaysia).

Dalam konteks masyarakat Malaysia, realiti yang harus diperhitung termasuk sistem politik (al-Daulah), komposisi penduduk berbilang bangsa, agama dan budaya serta sejarahnya yang boleh dikhususkan sebagai al-Muwatonah.

ASAS NEGARA

Ciri-ciri khas Malaysia ini yang akan menjustifikasikan gagasan Fiqh Manhaj Malizi supaya ia mempunyai nilai dinamika dan global, sekali gus menyumbang kepada dunia Islam khasnya dan dunia umumnya bahawa Malaysia sebagai model kenegaraan pelbagai kaum yang tidak mengetepikan prinsip-prinsip syariah.

Dalam hal ini, agama Islam dan umatnya tidak boleh dilihat sebagai penghalang kepada usaha untuk mewujudkan nilai-nilai kebersamaan di negara ini. Sebaliknya, dengan berpandukan kepada formula dan acuan Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah) yang berjaya menggabungkan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Maka masyarakat Malaysia yang berbekalkan dengan jati diri keagamaan dan kebudayaan yang pelbagai itu seharusnya bergabung membentuk satu ummah yang inklusif.

Lima perkara asas yang boleh dijadikan panduan dalam menjiwai nilai kebersamaan, ialah:

  • Konsep nilai kebersamaan ummah
  • Konsep nilai kebersamaan dalam Piagam Madinah sebagai satu contoh dan rujukan dalam mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam agama dan budaya
  • Konsep kebebasan beragama yang menonjolkan nilai kebersamaan
  • Nilai kebersamaan dalam konsep persaudaraan warganegara atau al-Ukhuwwah al-Muwatinun
  • Nilai kebersamaan dalam konsep persaudaraan berasaskan nilai kemuliaan dan sifat kemanusiaan atau al-Ukhuwwah al-Insaniyyah.

PERANAN ULAMA

Bagi mencapai keseimbangan, para ulama seharusnya juga dapat menjiwai Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, proses demokrasi berparlimen dan kebudayaan-kebudayaan yang membentuk Malaysia hari ini.

Oleh itu, para ulama dan pentadbir agama diharapkan mampu terlibat secara langsung dengan politik tanpa ada sebarang ancaman atau ugutan terhadap mereka. Oleh demikian, bagi memastikan konsep Fiqh al-Muwatonah ini dapat diaplikasikan, maka para ilmuwan Islam dan masyarakat keseluruhannya perlu menghayati beberapa etika dalam menjiwai negara bangsa berasaskan kebersamaan sebagai warganegara Malaysia.

Antaranya saling menghormati, hak dan kebebasan mengamalkan ajaran agama, kesedaran tentang kepercayaan orang lain, tiada keganasan, toleransi beragama dan lain-lain yang berkaitan.

Tiga elemen utama iaitu Islam, nilai kebersamaan dan sistem bernegara akan berupaya melahirkan sebuah masyarakat Malaysia Baharu yang harmoni.

Asasnya:

  • Mestilah kembali kepada kefahaman terhadap nilai agama dan bangsa yang boleh dicapai melalui pengetahuan tentang hak dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara
  • Disiplin etika dalam menghayati nilai kebersamaan dan contoh teladan kepimpinan
  • Pematuhan kepada sistem negara bangsa berasaskan perpaduan nasional

Sesungguhnya menangani kepelbagaian memerlukan sikap keterbukaan yang berprinsip antara semua pihak, sama ada mereka sebagai pemimpin, ulama bahkan mewakili masyarakat umum di negara ini.

Menyantuni mereka yang bukan Muslim tidak bermaksud mengiktiraf semua perlakuan yang salah tetapi berusaha untuk memperbetul dan memperbaikinya mengikut lunas-lunas syariah.

Oleh itu, untuk memberikan sesuatu bermanfaat yang bukan sahaja untuk negara, tetapi juga untuk dunia, maka pentadbiran Islam itu sendiri perlulah mencapai standard ‘world class’ dan bukan lagi diperlekeh oleh umat negara sendiri.

Semuanya boleh digapai sekiranya kita betul-betul memahami falsafah Rahmatan Lil Alamin dengan berpandukan Maqasid Syariah.