Syed Saleh berkata, apatah lagi ibadah haji tahun ini jatuh pada musim panas, justeru antara perkara yang perlu diambil perhatian bagi melancarkan ibadah adalah:

1- Membanyakkan minum air

  • Ambil peluang minum air zamzam secukupnya atau sebanyak mungkin selain menjaga pemakanan.
SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN 

2- Mengelakkan daripada membeli makanan di kaki lima atau gerai yang tidak menjaga kebersihan

  • Kebanyakan jemaah haji adalah golongan berusia, maka tahap kesihatan merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan bagi mengelak mereka daripada jatuh sakit seterusnya tidak dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.

3- Memperkasa sikap kendiri

  • Jemaah haji diharap dapat menggerakkan daya usaha sendiri dan tidak sepenuhnya bergantung kepada petugas, namun tindakan yang hendak diambil haruslah mengikut saranan serta nasihat Tabung Haji bagi memastikan faktor keselamatan kekal terjamin.

4- Membawa ubat keperluan sendiri secukupnya

  • Petugas kesihatan hanya menyediakan ubatan biasa dan bukan khusus untuk kegunaan individu tertentu.
  • Sebagai contoh, alat bantu pernafasan tidak disediakan oleh petugas kesihatan negara, maka alat itu perlu dibawa sendiri oleh jemaah dan membawa bersama surat pengesahan doktor.

5- Dapatkan bantuan kecemasan

  • Sekiranya berhadapan dengan masalah kesihatan atau kurang sihat, jemaah diminta untuk terus ke maktab atau pejabat muassasah yang mengurus jemaah haji bagi mendapatkan bantuan segera.

6- Gunakan lencana dan gelang pengenalan diri yang diberikan

  • Ini penting sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan dan bencana.
  • Bukan sahaja memudahkan pihak berkuasa Arab Saudi mengenal pasti identiti dari negara mana, lencana dan gelang itu membantu jemaah lain menghulurkan bantuan sekiranya berlaku kejadian kecemasan.

PERSIAPAN FIZIKAL

Dalam pada itu menurut Syed Saleh, persiapan fizikal sahaja tidak mencukupi, sebaliknya persiapan mental juga perlu dibuat oleh jemaah haji yang bakal berhadapan dengan ‘lautan manusia’ dari seluruh dunia dengan anggaran mencecah 4 juta orang.

“Ini bukan satu perjalanan atau musafir biasa, sebaliknya perjalanan rohani dan rabbani. Bagi menyahut jemputan Allah sebagai tetamu-Nya, persiapan diri seharusnya kena betul dan niat untuk beribadah.

“Maka persiapan mental juga penting kerana kita akan berada di tempat asing dan terlalu ramai manusia. Sebaiknya juga mereka mempersiapkan ilmu dengan secukupnya bagi merasai kenikmatan dan kelazatan beribadah,” katanya.

Tambahnya, Talian Ibadah (Taib) selama 24 jam disediakan oleh Tabung Haji kepada jemaah haji bagi membolehkan mereka menghubungi petugas untuk bertanyakan apa sahaja kemusykilan dalam beribadah biarpun peratusan besar pertanyaan itu adalah sekadar mendapatkan kepastian.