Pepatah itu sudah cukup menggambarkan betapa seseorang itu perlu menjaga perkataan dan percakapan kerana dikhuatiri boleh memudaratkan diri sendiri.

Biarpun lumrah lidah sememangnya tidak bertulang, namun akal manusia seharusnya mengawalnya agar tidak mengundang kecelakaan yang tidak diingini.

Hal ini terutama bagi jemaah haji yang merupakan insan terpilih untuk mengunjungi rumah Allah SWT, sepatutnya mengambil berat perihal ini sebelum melangkah kaki ke tanah suci agar perjalanan menunaikan haji berjalan lancar.

Ini kerana, tidak sedikit yang kita dengar berlakunya perkara tidak diingini kepada jemaah haji dek kerana keceluparan mulut dan perasaan riak tidak dibendung.

Mengimbau kembali kenangan menjalankan tanggungjawab sebagai petugas haji, Azeman Dahla memberitahu, pelbagai kisah tragis pernah dialami oleh jemaah haji akibat tidak menjaga mulut dan adab ketika berada tanah suci.

Kesannya, perjalanan menunaikan haji tidak lancar, malah ada yang menanggung kesakitan sehingga hari terakhir di tanah suci.

“Banyak kejadian berlaku memberikan iktibar. Pernah suatu ketika ada jemaah haji yang merungut kerana hotel penginapan terletak agak jauh dari tempat ibadat. Dia tidak berpuas hati kerana kakinya sakit dan jarak jauh itu menambahkan kesukarannya.

“Apabila dia bercakap seperti itu, kakinya yang sakit sedikit sahaja terus bertambah sakit sehingga tidak dapat bergerak langsung. Kesakitan itu berlanjutan sehingga tiba hari untuk pulang ke Malaysia dan pada hari terakhir itu baru kaki dia tidak lagi berasa sakit,” katanya.

Tambahnya, bukan sekadar tutur kata, malah niat dan kata-kata dalam hati juga harus dikawal.

“Ketika itu pada 1996, rakan sebilik saya di tanah suci menceritakan mengalami kejadian seperti ini. Dia melihat Bukit Safa dan terdetik dalam hatinya bahawa bukit itu tidaklah setinggi mana.

“Akibatnya dia tidak dapat turun daripada bukit berkenaan selepas itu dan terpaksa merangkak kerana merasakan bukit itu terlalu tinggi sedangkan bukit itu memang tidak tinggi sangat pun.

“Ada juga kejadian lain seperti sesat berjam-jam lamanya sehingga melecur kaki mencari jalan pulang kerana memungkiri janji bersama jemaah lain,” ujarnya.

BELAJAR SABAR, REDA

“Jika berhadapan dengan perkara sebegitu, jemaah haji dinasihatkan segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

“Ketika berada di sana, kita akan diuji sesuatu yang kita lemah jadi kena banyak bersabar, beristighfar dan terima segalanya dengan reda,” ujarnya.

Disebabkan itu kata Azeman, jemaah haji perlu belajar reda, sabar dan menerima segala keadaan sepanjang berada di tanah suci itu untuk kesejahteraan mereka sepanjang di sana.

Penyucian hati dan diri amat penting supaya tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri serta melancarkan perjalanan ibadah untuk mendapat haji mabrur.

“Sebaiknya, lebihkan beribadat dan kurangkan bercakap perkara yang tidak perlu. Jika tersedar telah terlepas cakap atau terlanjur kata segeralah bertaubat memohon keampunan.

“Kita tidak mahu perkara-perkara yang tidak dijangka ini boleh menjejaskan niat utama mengejar pahala di tanah suci,” jelasnya.

Selain itu, Azeman turut berpesan kepada bakal jemaah haji untuk mendalami ilmu agama dengan sebaiknya kerana pekerjaan yang dilakukan tanpa ilmu dikhuatiri menjadi sia-sia.