Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, penetapan kadar tersebut adalah mengikut harga bagi satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Bagi golongan berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan, mereka boleh memilih kadar zakat fitrah beras Super Import iaitu RM14 dan beras Basmathi RM21,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, bayaran zakat melebihi RM7 adalah sunat dengan tiada paksaan kepada pembayar.

Tambahnya, bayaran zakat fitrah boleh dibayar secara tunai kepada pihak LZNK melalui 2,998 amil fitrah yang telah dilantik di 621 pusat kutipan di seluruh negeri ini menggunakan resit rasmi zakat fitrah LZNK.

“Selain itu, bayaran zakat fitrah juga boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Jom Zakat https://jom.zakatkedah.com.my,” katanya. - UTUSAN ONLINE