Jawapan: Walaupun isu berkaitan lalat amat remeh pada sebahagian orang, tetapi sebenarnya ia dinyatakan dalam nas al-Quran dan hadis Rasulullah sama ada dalam bentuk amthal (perumpamaan), begitu juga berkaitan hukum yang ada kena mengena dengan kehidupan manusia.

Justeru, dalam menjelaskan salah faham berkenaan dengan fakta lalat yang dilihat semata-mata membawa virus atau penyakit kepada manusia, tetapi apa yang ditunjukkan oleh Hadyun Nabawi agak berbeza dengan prasangka dan fahaman itu.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).” (al-Haj: 73)

Amthal dalam ayat itu tidak memerlukan penerangan dan penghuraian panjang lebar. Ia berkenaan penyekutuan yang dilakukan oleh manusia kepada Allah dengan melakukan pengabdian kepada berhala sedangkan mereka mengetahui kelemahan dan kehinaan pada berhala tersebut.

Perkataan “tidak sekali-kali” menunjukkan kepada penafian untuk selamanya. Ia membawa maksud secara pasti kemustahilannya bagi golongan musyrikin itu untuk menciptakan lalat walaupun mereka berkumpul dan saling bekerjasama untuk menciptakannya.

Ditambah lagi rasa ‘lemah’ apabila sesiapa pun tidak mampu menghalang lalat yang mengambil sesuatu atau menghinggapi pada mana-mana tempat.

Jika al-Quran mengambil contoh haiwan berkenaan adalah daripada jenis yang buas dan ganas, maka ia menunjukkan haiwan tersebut ada kekuatan tersendiri. Tetapi, apabila dibawakan contoh seekor lalat yang lemah sebagai perumpamaan, namun manusia masih lemah untuk menghadapinya.

Hadis Nabi SAW berkenaan lalat:

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit.” - Riwayat al-Bukhari (5782)

Antara fikah boleh difahami daripada hadis itu adalah:

1. Lalat ini suci ketika hidup dan mati dan ia juga tidak najis jika terjatuh ke dalam sesuatu yang berair (cecair) atau keras.

2. Digalakkan merendam keseluruhannya di dalam sesuatu yang berair dan kemudian dikeluarkannya berdasarkan nas hadis di atas.

3. Pada hadis itu terdapat I’jaz Ilmi kerana ilmu moden telah membuktikan bahawa wujudnya penyakit pada satu daripada sayap lalat dan wujud juga penawar di sebelah satu lagi.

4. Ulama mengqiyaskan kesucian lalat dengan setiap nyawa yang mengalir (darah) daripada serangga hukumnya adalah suci.

Langkah ulama tersebut kerana ia tidak menjadi najis apabila terjatuh ke dalam makanan dan minuman sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana najis adalah darah yang terkurung dalam haiwan selepas mati dan ini tidak wujud pada lalat.

KAJIAN SAINTIFIK

Berdasarkan hadis itu juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan rapat antara lalat dan air. Hal ini kerana lalat memerlukan air secara berterusan.

Menurut Luther S. West (1951), lalat sering mengeluarkan najis berbentuk cecair dan apabila air ini tidak digantikan dengan segera maka lalat akan mati. Justeru, lalat seringkali berada di kawasan berair dan mudah jatuh dalam bekas yang berair.

Menurut hadis itu, Nabi SAW turut menunjukkan bahawa lalat adalah agen pembawa penyakit dan ini sejajar dengan kajian-kajian saintifik yang dilakukan.

Pakar dalam bidang ilmu serangga, Prof. J. Leidy menjelaskan bahawa melalui kajian yang dilakukan didapati bahawa lalat adalah pembawa pelbagai kuman dan penyakit kepada manusia.

Sehubungan itu, dalam hadis itu, baginda menyuruh agar ‘segera’ ditenggelamkan lalat yang jatuh ke dalam air supaya bakteria bermanfaat dapat mengeluarkan ‘bahan’ boleh mematikan segala bakteria lain yang membawa mudarat pada lalat itu.

Ini kerana bakteria hanya aktif dan mampu bertindak apabila wujudnya ‘perantaraan’ seperti makanan atau minuman yang terdapat dalam sesuatu bekas.

Melalui ‘perantaraan’ tersebut, bakteria mudarat dan bakteria bermanfaat akan ‘bertarung’ dan natijahnya bakteria bermanfaat akan menghapuskan segala bakteria yang mudarat.

Mengikut kajian, bakteria bermanfaat hanya perlu mengeluarkan ‘bahan’ sejumlah lima gram untuk meneutralkan 1,000 liter cecair atau bahan makanan.

Dalam pada itu, hadis Rasulullah tersebut turut selari dengan kajian saintifik yang mendapati pelbagai ubat dapat dihasilkan daripada lalat.

Hal ini kerana terdapat lebih daripada 64,000 jenis lalat yang bertebaran di atas muka bumi ini

Penyakit yang dibawa atau dipindahkan oleh lalat ke sesuatu kawasan berbeza dengan penyakit di kawasan lain. Hal ini adalah disebabkan lalat memindahkan penyakit dan bakteria mengikut kawasan didiaminya.

Justeru, setiap penyakit yang dibawa oleh lalat tersebut akan diperoleh penawarnya daripada lalat itu juga. Dari sini, banyak kajian dapat dihasilkan melalui lalat itu dan banyak penawar akan dapat ditemui daripada penyakit-penyakit yang dibawa oleh serangga itu.