Banyak yang kami bincangkan bermula daripada pemilihan tempat sehinggalah pengisian program dan cara berkempen. Semoga usaha penganjuran program sebegini dapat diadakan dan diperbanyakkan supaya industri halal mampu berkembang di Jepun sekali gus memperluaskan informasi tentang Islam di Negara Matahari Terbit itu.

Pasaran makanan halal menawarkan peluang industri yang besar dengan anggaran lebih RM12.3 bilion (AS$3 bilion) seluruh dunia. Hal ini bermakna umat Islam mempunyai kelebihan besar untuk berdakwah iaitu menerusi perniagaan halal.

Perniagaan merupakan tarikan utama kepada warga bukan Muslim. Ini kerana, pada mereka berjaya di hidup ini adalah matlamat utama. Kekayaan pula adalah tanda seseorang itu telah berjaya. Kekayaan merupakan lambang kejayaan mereka dalam hidup.

Oleh itu, orang yang masih belum beriman ini amat meminati perniagaan kerana terdapat kebolehpasaran dan keuntungan di situ. Mereka juga tahu apabila menjalankan perniagaan dengan Muslim, sangat berbeza dengan rakan perniagaan lain. Ini kerana nilai tambah dalam Islam iaitu halal membuatkan kita hebat daripada mereka.

Apabila kita bercerita mengenai agama, ada antara mereka menolak dan tidak berminat dengannya. Tetapi jika kita ceritakan mengenai peluang perniagaan halal, hampir semuanya tidak menolak. Malah kerajaan Jepun sendiri mempromosikan perniagaan halal.

Firman Allah dalam Surah Jumaah ayat 10 maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).”

HALAL TERHAD DI JEPUN

Menyediakan makanan halal merupakan tuntutan penting bagi setiap Muslim. Ia juga merupakan satu cabaran bagi umat Islam di Jepun untuk menyediakannya kerana selain kedai yang terhad, jumlah orang Islam yang menyediakannya juga amat sedikit.

Di samping itu, warga Muslim sendiri tidak ramai yang mempunyai modal untuk menjalankan perniagaan selain tiada kesungguhan dan keyakinan untuk menyediakan makanan halal. Inilah antara kelemahan umat Islam akhir zaman ini yang tidak yakin dengan janji Islam dan diri sendiri.

Makanan halal paling banyak disediakan di Jepun adalah makanan bagi orang Pakistan dan India. Ini kerana, mereka tidak mampu untuk makan makanan Jepun sedangkan warga Nusantara tidak menjadi masalah kerana kepelbagaian menu makanan di Malaysia termasuk citarasa dari Jepun.

Oleh kerana permintaan itu, perniagaan halal disediakan tetapi dikendalikan oleh peniaga dari Jepun. Mereka melihat ini sebagai peluang perniagaan menguntungkan kerana terlalu sedikit Muslim berani memenuhi permintaan halal tersebut.

Walau bagaimanapun, perniagaan halal diusahakan bukan Muslim ada kalanya meragukan kerana didapati sesetengah peniaga tidak menggunakan pekerja Islam.

Walaupun warga Jepun kebanyakannya tidak menipu dalam perniagaan, tetapi tanpa pemantauan tersusun, hakikatnya mereka sendiri sebenarnya tidak begitu mengetahui tuntutan halal itu sendiri.

Sehubungan itu, marilah bersama-sama kita mengembangkan perniagaan halal di Jepun. Ini kerana, selain untuk mencari keuntungan dunia, ia juga sebagai serampang dua mata untuk berdakwah dan memperkembangkan Islam.

Sejarah membuktikan Islam berkembang di bumi Nusantara melalui saudagar Muslim yang datang dari tanah Arab dan China. Mereka datang ke Tanah Melayu membawa perniagaan halal.

Justeru, kita juga mampu menggunakan strategi sama untuk mengembangkan Islam di bumi Jepun. Kita telah berjaya di Nusantara, tiada sebab untuk kita tidak mampu untuk berjaya dengan cara sama di Jepun pula.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung International Halal Conference 2019, orang ramai boleh melayari laman web https://acis.uitm.edu.my/inhac2019/.