Bagi mereka yang prihatin dan mahu berkongsi formula kejayaan bersama komuniti Muslim lain, tiada istilah ‘makan seorang’ dan rahsia kejayaan sanggup dikongsi bersama bagi menyaksikan rakan-rakan lain memperoleh manfaat bersama.

Menyedari ilmu yang diperoleh daripada Allah SWT perlu dikongsi dan disebar luas, maka anak muda berusia 29 tahun ini sedia berkongsi pengalaman serta membantu saudara Muslim lain menjalankan penternakan udang kara air tawar ataupun ‘craw fish’.

Selain mengakui rezeki Allah sangat luas dan tidak perlu berasa takut rezeki yang diperoleh akan berkurangan, Tengku Muhammad Azrul Ariff Che Engku Chik berlapang dada mencurahkan ilmu kepada mereka yang berminat.

Tidak terhenti di situ, usahawan muda yang menjalankan perniagaan Jeram Lobster Agrotech (Jeram Lobster) sejak setahun lalu di Jeram, Kuala Selangor itu turut berminat mempunyai rakan niaga atau memberi tunjuk ajar bagi melahirkan usahawan Muslim lain berkecimpung dalam penternakan udang kara air tawar yang mempunyai pasaran sangat luas di negara ini.

Dia yang mempunyai tugas hakiki di sebuah firma perakaunan sendiri berkata, ‘pintu’ Jeram Lobster sentiasa terbuka kepada seluruh masyarakat untuk mendalami ilmu penternakan spesis udang yang menjadi kegilaan orang ramai, selain menyediakan pakej mampu milik kepada usahawan baharu.

“Pasaran udang kara air tawar di negara ini sangat luas sehinggakan stok kami di Jeram Lobster tidak mampu menampung permintaan tinggi daripada orang ramai termasuk pihak pengusaha restoran makanan laut bertaraf lima bintang dan kedai makan biasa.

“Untuk itu, kami ingin berkongsi peluang keemasan ini dengan orang ramai yang berminat menjalankan perniagaan ini. Usahawan baharu tidak perlu takut sekiranya tiada rangkaian pasaran untuk memasarkan stok mereka kerana kami bersedia membeli kembali udang kara mereka, ” katanya yang ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis selepas menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli dan ADUN Melawati, Juwairiya Zulkifli yang melihat sendiri kejayaan usahawan muda tersebut menjalankan penternakan udang kara air tawar.

CARI RAKAN KONGSI

Jeram Lobster adalah lokasi penternakan dan pengeluar udang kara air tawar terbesar di Selangor, selain turut menjadi pengusaha kedua terbesar di negara ini selepas sebuah syarikat penternakan spesis sama di Johor.

Lokasi pembenihan anak lobster jenis ‘Red Claw’ di Jeram itu mempunyai empat kolam tanah, 10 tangki plastik polyethylene dan 14 kolam simen.

Pada permulaan perniagaan, Jeram Lobster membawa masuk 10,000 anak benih bersaiz dua hingga tiga inci dari Kelantan bagi dibiakkan di lokasi penternakan ke Jeram, Selangor.

Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Azrul berkata, pihaknya mampu menghasilkan produktiviti sekitar 100 hingga 150 kilogram sebulan, setelah terpaksa menghadkan pengeluaran demi memastikan baka bagi tujuan pembiakan dapat dikekalkan.

Jelasnya, ekoran kekangan tersebut, pihaknya terpaksa mencari rakan niaga baharu yang berminat bagi memenuhi permintaan pasaran yang sangat tinggi terutama di sekitar Petaling Jaya, Klang, Shah Alam dan restoran lima bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihaknya sememangnya tidak ‘menang tangan’ bagi memenuhi semua permintaan, malahan stok udang baru sahaja bersaiz lima atau enam inci sudah ada pihak pembeli yang berminat mendapatkannya.

Katanya, menggunakan tagline ‘kami bekal anda saji’ yang menjurus kepada restoran dan kedai makan, namun pihaknya turut membekalkan udang kara air tawar kepada penternak serta peraih.

“Kadang kala kami di Jeram Lobster terpaksa menjadi orang tengah. Atas sebab itu, kami memerlukan penglibatan lebih ramai usahawan untuk bekerjasama bagi membekalkan stok sedia ada di pasaran.

“Sebenarnya, udang kara air tawar mudah diternak dan proses pembiakan juga cepat apabila akan bertelur sebulan sekali.

“Pada saiz tiga inci pun sudah boleh bertelur dan seekor induk betina boleh bertelur sehingga 300 biji telur. Selain itu, kadar pembesaran udang kara air tawar adalah sekitar satu inci setiap bulan,” katanya.