Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, tabung wakaf sumbangan masjid-masjid di negeri ini akan diurus oleh MAINPP secara profesional dan bertanggungjawab.

"Sebagai sebuah badan di bawah kerajaan negeri sudah pasti pengurusan dan pentadbiran MAINPP sentiasa dipantau dan diaudit oleh juruaudit dalaman.

"Justeru itu, tidak perlu ditubuhkan jawatankuasa pemantau lain untuk memastikan ketelusan (tabung wakaf sumbangan masjid-masjid) seperti dicadang oleh pihak tertentu," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri ini yang mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemantau untuk memastikan sumbangan ke tabung wakaf oleh masjid itu diuruskan dengan telus dan cekap.

Sebelum ini, tular mengenai penubuhan tabung wakaf sumbangan masjid negeri menerusi surat pekeliling kepada pengurusan masjid bertarikh 26 Jun lalu.

Menerusi surat itu, semua masjid di negeri ini diminta menyumbang sebanyak 10 peratus hasil kutipan tabung setiap Jumaat pada setiap bulan kepada tabung berkenaan berkuat kuasa bulan lalu.

Menurut Wan Salim cadangan penubuhan tabung wakaf itu bertujuan untuk menambah aset umat Islam di negeri ini dan beliau berharap menerusi rancangan tersebut ekonomi umat Islam dapat diperkasakan untuk kepentingan generasi akan datang.

"Kita harap segala projek yang memberi faedah kepada umat Islam akan mendapat sokongan semua pihak tanpa dipolitikkan sehingga menggagalkan usaha-usaha yang baik ini.

"Ini kerana ia akan merugikan umat Islam di negeri ini dan secara tidak langsung mengkhianati agama dan bangsa sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE