Kagum saya dengan kegigi­han petugas sebuah hospital kerajaan yang saya kunjungi baru-baru ini. Pagi itu (23 Julai 2019) saya punyai dua temu janji di Hospital Selayang dan berkejar ke sana ke mari antara Klinik Pembedahan Am, Jabatan X-ray dan Klinik Urologi.

Ketika beramah mesra dengan doktor pakar yang merawat saya iaitu Datuk Dr. Rohan Malek, kisah itu keluar dari mulutnya. Tampak jelas keletihan pada raut wajahnya kerana selesai sahaja urusan pembedahan pada awal pagi, beliau terus hadir ke Klinik Urologi untuk merawat pesakit yang datang.

DR. ROHAN MALEK
DR. ROHAN MALEK 

Beliau juga insan mulia yang bertanggungjawab menjalankan pembedahan pemindahan buah pinggang kepada saya pada 5 Ogos 2010. Saya menderita sakit buah pinggang kronik sejak 2001 dan bertuah kerana ibu saudara saya, Siti Aesahah mendermakan sebelah buang pinggangnya kepada saya.

Sepanjang hampir 19 tahun menjadi ‘pengunjung setia’ Hospital Selayang, saya dapati kakitangannya sentiasa memberikan khidmat terbaik walau apa jua situasi yang mereka hadapi.

Pada hari temu janji tersebut, angka pesakit di ketiga lokasi yang saya kunjungi sangat ramai dan nampak tidak seimbang dengan angka para petugas hospital tersebut.

Pun begitu, sikap profesional dan sabar mereka sentiasa terserlah. Saya tidak mahu ulas mengenai ratio tidak seimbang antara pesakit dan petugas hospital kerana ia berada dalam bidang kuasa Kementerian Kesihatan. Pastinya pihak terbabit punyai justifikasi mereka tersendiri.

Apa yang mahu saya jentik dengan didik bersulam nasihat adalah sikap sesetengah pengunjung hospital kerajaan terhadap petugas kesihatan.

Ketika berada di kaunter pendaftaran, saya lihat poster `jangan kasari kakitangan hospital’ terpampang jelas pada belakang komputer pegawai bertugas.

Dalam santai saya bertanya mengapa perlu diletakkan poster itu di situ. Rupanya mereka selalu menjadi sasaran amarah pengunjung hospital sama ada pesakit atau waris pesakit.

Letusan ‘gunung berapi’ amarah pengunjung berlaku apabila waktu menunggu yang lama dan kegagalan mereka mematuhi syarat profesional digariskan pihak hospital. Akibatnya mereka membidik peluru bahasa kasar kepada petugas hospital yang tidak bersalah.

Inilah seperti kata peribahasa ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’. Ketahuilah, sebagai Muslim kita dituntut menjaga akhlak dan tidak berbicara dengan orang secara kasar.

Sebagaimana firman Allah ertinya: “Dan katakanlah kepada sesama manusia (dengan) perkataan yang baik.” (al-Baqarah: 83)


SETARAF FIRAUN?

Adakah para petugas hospital yang terperangkap dalam kekangan sistem dan polisi hospital jauh lebih keji daripada Firaun? Perhatikan firman Allah ini ertinya: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut (kepada ancaman Allah).” (Taha: 43-44)

Mengapa Allah masih menuntut Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. menggunakan bahasa baik ketika berinteraksi dengan Firaun yang maha jahat lagi keji?

Ini tidak lain kerana kelembutan dan sikap rasional dalam interaksi sesama manusia mampu mengubah situasi. Tambahan pula para petugas hospital bukan sejahat atau sekeji Firaun.

Mereka adalah manusia yang miliki emosi dan perasaan. Mereka bukan robot tidak berperasaan yang boleh kita sergah, maki atau ‘jegil mata’ sewenang-wenangnya. Jangan kerana parut emosi yang kita calar pada mereka kelak memangsakan orang lain sama ada teman sekerja atau ahli keluarga mereka apabila mereka pulang.

Jangan kita pula menjadi punca colateral damage (kemusnahan sampingan) yang lain. Tiada manfaatpun di sebalik tindakan kasar dan kata-kata kesat yang digunakan kerana tidak banyak mengubah situasi yang dialami.

Bahkan ia bakal menjadi api yang membakar diri dan orang lain. Jangan sampai syaitan bertepuk tangan kerana misinya sudah kita ambil alih akibat tindakan kasar kita.

Firman Allah ertinya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang baik (kerana) sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (al-Isra’: 53)

Kasihanilah para petugas hospital, mereka terikat dengan polisi atau peraturan. Polisi pula digariskan untuk kebaikan semua. Sikap mementingkan diri sendiri wajib dibuang apabila melangkah masuk ke hospital kerana semua berhak dilayan secara saksama dan adil.

Para petugas hospital tidak berupaya mengawal waktu rawatan para doktor. Jika sakitnya sukar dan rumit pasti doktor perlu mengambil masa lama mencari penyelesaian. Jika anda perlukan perhatian lebih atas alasan munasabah, rundinglah dengan sopan agar tiada pihak terluka. 


SABAR, PAHALA INFINITI

Tiada nasihat terbaik yang mampu diberi kepada para pengunjung dan petugas hospital selain sabar. Jika kita susah, lihatlah orang lain lebih susah. Sabar punya banyak kelebihan dalam Islam, antaranya ‘pahala infiniti’ sebagaimana janji Allah ini.

Ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (al-Zumar: 10)

Hormatilah petugas hospital kerana mereka sedang melaksanakan satu maqasid atau prinsip utama Islam iaitu menjaga nyawa.

Ia kerja yang sangat mulia. Firman Allah ertinya: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan kepada Bani Israil, bahawasanya sesiapa membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…” (al-Ma’idah :32)

Oleh itu, kita sebagai pengunjung hospital sepatutnya menjadi ‘tiang penyokong’ kerja mulia mereka dan bukan menjadi ‘masalah tambahan’ kepada emosi mereka. Semoga Allah selamatkan kita semua dengan sikap bertimbang rasa.