Sinar Islam terus berkembang di Jerman dan pembangunan ummah diperkukuh dengan pembinaan lebih banyak kemudahan tempat beribadat buat komuniti Muslim di negara tersebut.

Terkini, sebuah masjid baharu siap dibina di Cologne, Jerman dan perasmian secara besar-besaran masjid tersebut disempurnakan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Selain memberi kemudahan kepada umat Islam di negara itu menunaikan solat, pembinaan masjid yang dimiliki Kesatuan Turki-Islam tersebut diharap mampu meningkatkan penganjuran pelbagai program bermanfaat kepada masyarakat setempat. - AP

Iran tuntut hak daripada AS

BANTAHAN orang ramai di Iran ke atas kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak pernah padam terutama terhadap dasar dan polisi antarabangsa yang dikenakan sangat memberi kesan kepada negara Islam tersebut. 

Tekanan besar yang dilaksanakan oleh Presiden AS, Donald Trump termasuk tindakan menarik keluar perjanjian nuklear dengan kuasa dunia sebelum ini ternyata menyebabkan kerajaan Iran tidak berpuas hati.

Ekoran tindakan Presiden AS tersebut, penduduk Iran tampil mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan bagi menyatakan bantahan, sekali gus menyatakan sokongan penuh terhadap pentadbiran kerajaan yang menentang keras tindakan AS dan sekutunya.

Seorang penyokong kerajaan menunjukkan tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan Iran di sebalik bendera AS yang berlubang di bahagian tengah. - AP

Tidak lepas peluang rakam detik indah

BERADA di medan perang, dia mungkin seumpama singa lapar yang akan berusaha berhempas pulas untuk memperoleh kejayaan dan mendapat habuan setimpal demi meneruskan kelangsungan hidup.

Namun dia juga insan biasa, sama seperti individu lain. Naluri persahabatan dan kasih sayang yang ada dalam diri sama sekali tidak boleh dipisahkan, meskipun dia mungkin seorang yang sangat garang serta tegas ketika berada di medan perang.

Masih boleh diajak berswafoto, seorang pemimpin tertinggi Jaish al-Islam meluangkan masa bersama pejuang ahli kumpulan itu yang bertugas mengawal keselamatan di bandar Soussian, wilayah Aleppo, Syria.

Kesempatan bergambar bersama pemimpin tertinggi merupakan detik indah dan menceriakan bagi seorang petugas keselamatan di negara bergolak itu, sekali gus membolehkan mereka melupakan seketika situasi 
getir yang ditempuhi selama
ini. - REUTERS

Kesetiaan tidak berbelah bahagi

SIAP siaga. Seorang penembak tepat yang merupakan masyarakat Badwi daripada suku Tayaha mempersiap diri untuk melancarkan serangan sekiranya situasi semasa menuntutnya melakukan tindakan balas.

Tanpa mengira cuaca yang menyelubungi dirinya ketika itu, dia tetap bersedia melakukan pemantauan situasi semasa bagi memastikan operasi mengiringi tentera Mesir di al-Agama, Sinai Tengah, Mesir berjalan lancar.

Tentera Mesir dilihat mula bertindak membekalkan kelengkapan persenjataan kepada puak Badwi di Semenanjung Sinai bagi membantu perjuangan negara itu melawan kumpulan 
militan yang terdiri daripada sekutu kumpulan pengganas Daesh. - AP